Tropicana lancar T Journey, beralih kepada operasi hospitaliti

Business & Finance
6 Aug 2026 • 7:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tropicana lancar T Journey, beralih kepada operasi hospitaliti

LANGKAWI: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) melancarkan platform pengurusan dan perkhidmatan hospitaliti bersepadu, T Journey, sekali gus menandakan permulaan operasi hospitaliti kumpulan di Tropicana Cenang yang telah siap dibangunkan di Pantai Cenang.

Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, selama lebih empat dekad Tropicana membangunkan komuniti pilihan untuk didiami dan kini syarikat memperluaskan peranannya dengan membangunkan destinasi pilihan untuk dikunjungi.

Katanya, penyiapan Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites yang mencapai kadar pengambilan 100 peratus, selain penyerahan milikan kosong kepada pembeli, menjadi asas kukuh kepada pelancaran operasi T Journey.

“Selain membangunkan hartanah berkualiti, kami turut mewujudkan aset hospitaliti yang diurus secara profesional bagi menjana nilai jangka panjang, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Langkawi.

“Menerusi kerjasama strategik bersama AirAsia Rewards, tarikan pelancongan, pengendali pelancongan, penyedia teknologi hospitaliti serta agensi kerajaan, kami sedang membangunkan ekosistem hospitaliti bersepadu yang mampu meningkatkan pengalaman pelawat pada setiap peringkat perjalanan mereka.

“Seiring peluasan portfolio menerusi Tropicana Lagoon dan Tropicana Shores, kami komited memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, di samping mencipta nilai mampan kepada pemilik, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi aplikasi hospitaliti T Journey di Assana Serviced Suites, Tropicana Cenang, di sini.

Ixora berkata, pelancaran rasmi itu melengkapkan lima pencapaian utama Tropicana, termasuk penyiapan Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites, kadar pengambilan 100 peratus bagi kedua-dua pembangunan, penyerahan milikan kosong kepada pembeli sejak April 2026 serta permulaan operasi hospitaliti T Journey.

“Pada masa sama, Tropicana menjalin kerjasama strategik dengan AirAsia Rewards sebagai Rakan Pelancaran Rasmi bersama 10 rakan strategik lain, termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi memperkukuh ekosistem pelancongan Langkawi.

“Selain itu, pembeli kini mula menerima kunci kediaman berperabot lengkap yang menghadap Pantai Cenang susulan kejayaan Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites.

“Penyiapan projek itu membolehkan T Journey menerima tetamu secara rasmi, sekali gus menjadikan Tropicana Cenang sebagai destinasi hospitaliti bersepadu yang menawarkan penginapan diurus secara profesional serta pengalaman pelancongan yang diperibadikan,” ujarnya.

Dengan siapnya Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites serta penyerahan milikan kosong kepada pembeli, Tropicana Cenang kini berkembang daripada pembangunan kediaman tepi pantai kepada destinasi hospitaliti yang beroperasi sepenuhnya.

Selain menawarkan kediaman, Tropicana turut menyediakan perkhidmatan hospitaliti profesional bagi meningkatkan kemudahan, memperkayakan pengalaman tetamu dan menambah nilai jangka panjang kepada pemilik.

Terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 2.13 hektar di Pantai Cenang, Tropicana Cenang kini muncul sebagai antara destinasi gaya hidup yang mendapat permintaan tinggi di Langkawi.

Pembangunan itu merekodkan kadar pengambilan 100 peratus membabitkan 831 unit Assana Serviced Suites dan 60 unit Merissa Serviced Suites yang ditawarkan dalam keadaan berperabot lengkap.

Ekosistem itu turut disokong pelbagai tarikan pelancongan dan rakan strategik termasuk Dream Forest Langkawi, Underwater World Langkawi, Langkawi Wildlife Park, Crocodile Adventureland Langkawi, Sedunia Travel Services, Mitra Malaysia dan HostPlatform, selain sokongan LADA serta MOTAC. – UTUSAN

The post Tropicana lancar T Journey, beralih kepada operasi hospitaliti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved