
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump mengeluarkan lebih 100 sepina bagi mendapatkan rekod puluhan ribu pengundi di sekurang-kurangnya 13 negeri menjelang pilihan raya pertengahan penggal minggu depan, dalam usaha menyiasat dakwaan pengundian secara haram oleh bukan warga Amerika Syarikat (AS).
Reuters melaporkan, kebanyakan sepina itu dikeluarkan kepada pegawai pilihan raya negeri dan tempatan dalam tempoh tiga bulan lalu, manakala sebahagian lagi dikeluarkan sejak awal tahun ini.
Sebahagian besar sepina berkenaan tidak pernah dilaporkan sebelum ini, sekali gus mendedahkan usaha kerajaan persekutuan mengenal pasti pengundi bukan warga AS yang lebih meluas daripada diketahui umum.
Undang-undang AS melarang bukan warga negara itu daripada mengundi dalam pilihan raya persekutuan.
Pakar undang-undang berkata, rekod yang diperoleh menerusi sepina itu boleh digunakan untuk mencabar keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang menyaksikan persaingan sengit, meskipun bukti pengundian oleh bukan warga AS secara meluas masih terhad.
Reuters mengenal pasti sepina berkenaan menerusi permohonan mendapatkan rekod awam dan temu bual dengan pegawai tempatan serta negeri.
Banyak sepina dikeluarkan di kawasan yang menjadi kubu kuat Parti Demokrat, termasuk Minneapolis, Philadelphia, Los Angeles dan beberapa bandar lain di California.
Bagaimanapun, sepina itu turut melibatkan negeri yang cenderung menyokong Parti Republikan tetapi mempunyai persaingan sengit dalam pilihan raya, termasuk Texas, Kansas dan Georgia.
Sekurang-kurangnya 49 sepina dikeluarkan di bawah kuasa juri besar, menunjukkan tindakan itu berkaitan siasatan jenayah.
Sepina demikian biasanya lebih sukar dicabar di mahkamah berbanding sepina pentadbiran yang dikeluarkan secara langsung oleh agensi persekutuan.
Rumah Putih mendakwa pengundian bukan warga AS merupakan masalah serius yang memerlukan usaha menyeluruh kerajaan persekutuan untuk mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terbabit, termasuk melalui penugasan ratusan anggota penguatkuasa undang-undang persekutuan.
Pentadbiran Trump berikrar untuk terus menjadikan usaha itu sebagai keutamaan.
“Pentadbiran Trump menghantar mesej jelas sesiapa yang mengundi secara haram dalam pilihan raya akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka. Hanya rakyat Amerika sepatutnya menentukan pemimpin negara ini,” kata jurucakap Rumah Putih, Lauren Bis, dalam kenyataan kepada Reuters.
The post Trump buru pengundi haram menjelang pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.






