
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencadangkan agar Selat Hormuz dinamakan sempena namanya, sambil menegaskan bahawa laluan strategik itu kini berada di bawah kawalan Washington berikutan ketegangan dan serangan yang berterusan dengan Iran, lapor saluran berita Al Jazeera.
Cadangan Trump, itu muncul kurang daripada 24 jam selepas AS menyerang beberapa sasaran di Iran, membunuh sekurang-kurangnya empat orang, termasuk dua kanak-kanak, di sebuah majlis perkahwinan di bandar selatan Sirik.
“Sebab kita dah kuasai bawah kawalan AS, patut tak kita tukar nama Selat Hormuz kepada SELAT TRUMP???” tulis Trump dalam satu hantaran di media sosial.
“Sama seperti Amerika sendiri, ia akan jadi lebih ‘panas’ daripada sebelum ini!”
Iran membalas serangan pada hari Selasa itu dengan pelancaran peluru berpandu ke arah pangkalan-pangkalan AS di rantau tersebut.
Pertempuran itu telah merosakkan dan melonjakkan harga minyak naik sekitar 4 peratus.
Meskipun terdapat dakwaan berulang kali daripada pegawai AS bahawa Selat Hormuz kini dibuka dan berjuta-juta tong minyak melaluinya setiap hari, harga minyak masih tidak turun dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Iran terus mempertahankan bahawa laluan air tersebut ditutup dan berada di bawah kawalannya. – AGENSI
The post Trump cadang tukar nama Selat Hormuz kepada ‘Selat Trump’ appeared first on Kosmo Digital.


