
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan agar Selat Hormuz dinamakan sempena dirinya, sambil menegaskan laluan perairan strategik itu kini berada di bawah kawalan Washington meskipun Iran melancarkan serangan hampir setiap hari terhadap kapal-kapal di kawasan berkenaan.
Cadangan untuk menamakan Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’ merupakan usaha terbaharu Presiden AS itu untuk menegaskan kawalan terhadap konflik berkenaan, yang menurut pengkritik merupakan kesilapan strategik dan kini semakin bertukar menjadi konflik berpanjangan yang sukar diselesaikan.
“Sekarang kita sudah menguasainya di bawah kawalan AS, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada SELAT TRUMP???
“Seperti Amerika sendiri, ia akan menjadi ‘lebih panas’ daripada sebelumnya!” tulis Trump dalam satu hantaran di media sosial.
Cadangan tersebut dibuat kurang 24 jam selepas AS menyerang beberapa sasaran di Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua kanak-kanak dalam satu majlis perkahwinan di bandar Sirik, selatan Iran.
Iran bertindak balas terhadap serangan pada Selasa dengan melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan AS di rantau itu.
Pertempuran berkenaan turut menyebabkan harga minyak meningkat kira-kira empat peratus.
Meskipun pegawai AS berulang kali mendakwa Selat Hormuz kini dibuka dan berjuta-juta tong minyak dihantar melaluinya setiap hari, harga minyak tidak menunjukkan penurunan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Iran pula terus menegaskan laluan perairan itu ditutup dan berada di bawah kawalannya.
Pada Rabu, Arab Saudi menuduh Iran melancarkan serangan terhadap sebuah kapal tangki minyak yang mengorbankan dua orang.
Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), agensi pemantauan yang mempunyai kaitan dengan Tentera Laut Diraja Britain, turut melaporkan serangan terhadap kapal-kapal di Selat Hormuz hampir setiap hari.
Di AS, harga petrol juga terus meningkat. Menurut Persatuan Automobil Amerika(AAA), harga petrol mencecah AS$4.12 (RM16.63) segelen pada Rabu, berbanding kurang AS$3 (RM12.11) sebelum perang bermula pada 28 Februari.
Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencetuskan konflik itu dengan melancarkan serangan terhadap Iran dan membunuh pemimpin tertinggi negara berkenaan pada awal tahun ini.
Ketika itu, Trump menjanjikan perang tersebut hanya akan berlangsung selama enam minggu.
Namun, perang yang pada awalnya digelar Trump sebagai ‘operasi kecil’ itu tidak berakhir dalam tempoh singkat seperti yang dijanjikan. Konflik berkenaan memasuki bulan ketujuh minggu lalu.
Bagaimanapun, Trump terus mendakwa kemenangan dan kawalan AS ke atas Selat Hormuz, selain berulang kali mendakwa Iran telah dikalahkan dari segi ketenteraan walaupun Teheran masih berupaya melancarkan serangan balas terhadap kepentingan AS di rantau itu.
Susulan serangan AS pada Selasa, Trump memberi amaran keras kepada Teheran supaya tidak bertindak balas, dengan berkata, Iran akan ‘dihentam sekali lagi pada tahap yang jauh lebih keras dan lebih tinggi’ sekiranya membalas serangan.
Namun, beberapa jam kemudian, tentera Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah pangkalan AS di Bahrain, Jordan dan Iraq.
Bulan lalu, Trump berkata, beliau menganggap Selat Hormuz sebagai ‘wilayah Amerika’.
Minggu lalu, beliau turut menamakan semula Tasik Ontario, yang bersempadan dengan AS dan Kanada, sebagai ‘Tasik America’ susulan pertikaian perdagangan yang berterusan antara kedua-dua negara.-AGENSI
The post Trump mahu namakan Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’ appeared first on Utusan Malaysia.



