
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sabtu mendakwa bahawa AS telah menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya sebelum membawa mereka keluar dari negara itu, susulan satu serangan ketenteraan berskala besar.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata operasi berkenaan berjaya dilaksanakan terhadap Venezuela dan kepimpinannya. Menurutnya, Maduro dan isterinya telah ditawan sebelum diterbangkan keluar dari negara tersebut.
Terdahulu, agensi Reuters melaporkan seorang pegawai AS mengesahkan berlakunya serangan ke atas Venezuela selepas beberapa letupan menggegarkan ibu negara Caracas. Serangan itu berlaku susulan ancaman berbulan-bulan oleh Trump terhadap pentadbiran Maduro.
Letupan Gegar Caracas, Darurat Nasional Diisytihar
Kerajaan Venezuela memaklumkan serangan turut dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain termasuk Miranda, Aragua dan La Guaira. Situasi itu memaksa Maduro mengisytiharkan darurat nasional serta menggerakkan pasukan pertahanan negara.
Menurut saksi Reuters, letupan kuat, bunyi pesawat serta kepulan asap hitam dapat dilihat di sekitar Caracas bermula kira-kira jam 2 pagi dan berlarutan hampir 90 minit. Rakaman kejadian turut tular di media sosial.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan hasrat untuk melancarkan operasi darat ke atas negara pengeluar minyak utama Amerika Selatan itu, yang dipimpin Maduro sejak 2013.
Amerika Syarikat, pihak pembangkang Venezuela serta beberapa negara lain mendakwa Maduro memanipulasi pilihan raya tahun lalu bagi mengekalkan kuasa.
Walaupun Trump tidak memperincikan secara terbuka matlamat sebenar operasi itu, beliau dilaporkan secara peribadi mendesak Maduro supaya berundur atau meninggalkan negara tersebut. Pada Isnin lalu, Trump menyifatkan tindakan melepaskan kuasa sebagai langkah yang ‘bijak’ buat Maduro. – The Malaysian Update
The post Trump Dakwa AS Tawan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro Dalam Serangan Besar-Besaran appeared first on The Malaysian Update.
