
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan perang dengan Iran diharapkan semakin menghampiri penghujungnya, sambil mendakwa Teheran telah menghubungi Washington secara langsung untuk mencapai satu perjanjian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fasa perang yang sedang dilalui AS.
“Harapnya kita sudah menuju ke penghujung perang. Mereka mahu mencapai perjanjian dan kita akan lihat bagaimana perkara itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas tiba di North Carolina.
Ketika ditanya sama ada beliau menerima hubungan daripada Iran secara langsung atau melalui orang tengah, Trump berkata, beliau menerima hubungan secara langsung daripada Iran.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan antara Iran dan AS memuncak berhubung Selat Hormuz, walaupun satu memorandum yang ditandatangani pada Jun membayangkan perjanjian untuk membuka semula laluan air strategik itu sebagai langkah awal kepada perjanjian damai lebih luas.
Trump dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara-negara Teluk di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Selasa depan.
Pertemuan itu bagi membincangkan langkah seterusnya dalam perang dengan Iran, menurut portal berita AS, Axios yang memetik tiga sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu.
Sumber berkenaan berkata, Trump akan bertemu pemimpin atau menteri luar negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Kuwait dan Oman.
Pertemuan itu dijangka memberi tumpuan kepada cadangan AS mengenai strategi selepas perang ketika Trump dan pasukan kanannya merangka pelan pascakonflik yang dijangka dimuktamadkan selepas pilihan raya pertengahan penggal, menurut Axios.
Negara-negara Teluk yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera AS mengalami serangan besar-besaran Iran sepanjang perang, selain kerugian ekonomi yang ketara akibat gangguan terhadap eksport minyak dan gas asli.
AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Februari, menyasarkan bangunan kerajaan, tapak ketenteraan, infrastruktur peluru berpandu dan sistem pertahanan udara, sekali gus mendorong Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta pangkalan AS di seluruh rantau itu.
Konflik berkenaan sejak itu merebak ke seluruh rantau, dengan usaha diplomatik terus dijalankan bagi menamatkan permusuhan.
The post Trump dakwa perang hampir tamat, Iran hubungi AS secara langsung appeared first on Utusan Malaysia.



