
Trump Dakwa Selat Hormuz Buka Semula Jumaat Ini
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memaklumkan kapal-kapal mula bergerak semula melalui Selat Hormuz dan laluan penting minyak dunia itu dijangka dibuka sepenuhnya menjelang Jumaat ini.
Menurut AFP, Trump mengumumkan berita itu selepas perjanjian damai antara Washington dan Tehran berjaya dicapai.
Kapal-kapal yang membawa muatan minyak sudah mula keluar melalui laluan strategik tersebut selepas beberapa bulan tergendala akibat koanflik di Asia Barat.
“Banyak kapal sudah mula bergerak, kebanyakannya sarat dengan minyak keluar dari Selat Hormuz,” katanya.
Lapor AFP lagi, pembukaan semula laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran minyak mentah dunia itu dilihat sebagai langkah penting ke arah menamatkan konflik berdarah dan ketidaktentuan ekonomi global yang tercetus sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari lalu.
Trump dakwa Selat Hormuz buka semula Jumaat ini selepas AS capai persetujuan dengan Iran
Media Iran turut melaporkan tiga kapal tangki minyak dan dua kapal kargo yang membawa barangan berjaya melalui kawasan berkenaan selepas sekatan tentera laut AS.
Tambah AFP, sebelum ini, Iran dilapor menyekat laluan Selat Hormuz sejak perang bermula, menyebabkan harga minyak melonjak mendadak dan mencetuskan kebimbangan terhadap tekanan inflasi global.
Pada masa sama, AS turut menyekat aktiviti penghantaran keluar masuk ke pelabuhan Iran.
Menurut AFP, AS, Iran dan Pakistan yang bertindak sebagai orang tengah memaklumkan perjanjian damai itu dijangka dimeterai secara rasmi di Switzerland pada Jumaat.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata Trump, Naib Presiden JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf sebenarnya telah menandatangani dokumen itu secara elektronik.
Pegawai berkenaan berkata Trump mahu menandatangani sendiri dokumen itu bagi menunjukkan komitmennya untuk memastikan perjanjian itu berjaya diselesaikan.
Lapor AFP lagi, ketika ditanya pada sidang G7 di France mengenai bila teks penuh perjanjian akan didedahkan, Trump berkata ia merupakan “dokumen yang sangat kuat” dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata perjanjian itu membawa kepada “penghentian segera” perang, dengan rundingan bagi perjanjian muktamad dijadual berlangsung dalam tempoh dua bulan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu pencapaian besar bagi rantau itu.
Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
“Kami mempunyai sejarah komitmen yang dimungkiri dan perjanjian yang dibatalkan. Semua itu masih segar dalam ingatan kami,” katanya.
Baca juga:
Abang Ni Kongsi "First Time" Buat Cekodok, Terhibur Baca Komen Netizen
Mufti WP Perjelas Pendekatan Urus Krisis Pelarian Berteraskan Fiqh Dan Maqasid
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei turut menegaskan Washington perlu memastikan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Lubnan seperti yang dipersetujui.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tenteranya akan terus berada di Lubnan, Syria dan Gaza “selagi perlu”.
Tambah AFP lagi, perjanjian damai itu turut memberi kesan segera kepada pasaran global apabila harga minyak mentah susut hampir lima peratus kepada sekitar AS$80 setong selepas sebelum ini melonjak melebihi AS$110 sejurus perang bermula.




