Trump dakwa Selat Hormuz kini ‘bersih’ daripada periuk api

WorldPolitics
26 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump dakwa Selat Hormuz kini ‘bersih’ daripada periuk api

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran mana-mana kapal atau bot yang memasang periuk api baharu di Selat Hormuz akan dimusnahkan selepas mendakwa semua periuk api di perairan antarabangsa laluan itu telah diletupkan dan dialihkan.

Dalam hantaran di Truth Social pada semalam, Trump berkata AS melalui Angkatan Angkasanya memantau setiap inci persegi Selat Hormuz, laluan strategik penting dalam rantaian bekalan tenaga global.

“Dasar toleransi sifar terhadap pemasangan periuk api berkuat kuasa sepenuhnya,” katanya.

AS dan Iran tidak melancarkan serangan udara terhadap aset ketenteraan masing-masing sejak beberapa minggu lalu, namun serangan terhadap kapal di Selat Hormuz masih berterusan ketika kedua-dua pihak bersaing menguasai laluan maritim sempit berkenaan.

Data sementara penjejak kapal Vortexa menunjukkan kira-kira lima juta tong minyak sehari dihantar melalui selat itu pada Isnin, merosot daripada lebih 20 juta tong sehari sebelum perang.

Jumlah itu bersamaan kira-kira satu daripada setiap lima tong minyak yang digunakan di seluruh dunia.

Sementara itu, Menteri Luar Iran dan Oman berkata, kedua-dua negara membincangkan rangka kerja bagi mewujudkan koridor sementara melalui Selat Hormuz serta projek pembersihan periuk api di laluan perairan yang dikongsi kedua-dua negara.

Kedua-dua negara berusaha mengawal pergerakan kapal melalui Selat Hormuz seperti yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran, selepas laluan itu menjadi titik panas dalam konflik di Asia Barat.

Menteri Luar Oman, Badr al-Busaidi dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, membincangkan rangka kerja secara berperingkat yang boleh menjadi asas praktikal dan boleh dilaksanakan untuk meneruskan rundingan dalam pertemuan di Teheran, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Oman.

Rangka kerja itu merangkumi penubuhan koridor pelayaran sementara bersama melalui Selat Hormuz serta persetujuan untuk melaksanakan projek bersama bagi membersihkan selat itu daripada periuk api, menurut kenyataan berkenaan.

Rundingan teknikal akan diteruskan bagi mencari koridor pelayaran kekal dan pentadbiran masa depan selat berkenaan, selain mekanisme perkongsian maklumat, pengurusan trafik serta penyediaan perkhidmatan pelayaran dan keselamatan berkaitan, tambah kenyataan itu.- AGENSI

The post Trump dakwa Selat Hormuz kini ‘bersih’ daripada periuk api appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved