
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika pada Jumaat.
Beliau menyatakan demikian ketika AS meneruskan sekatan ketenteraan terhadap perkapalan dan pelabuhan Iran, manakala pentadbiran Trump bergelut untuk menamatkan perang dengan negara itu.
“Kita sendiri tidak tahu sama ada kita sudah menang, kerana saya menganggap Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika sekarang,” kata Trump ketika berucap di hadapan orang ramai di Carolina Selatan.
Beliau berada di negeri itu untuk berkempen bagi senator Darline Graham, yang bertanding bagi mengisi secara kekal kerusi Senat AS yang pernah disandang mendiang abangnya, Lindsey Graham.
Kemudian dalam ucapannya, Trump berseloroh mengenai pengeboman Iran.
“Ini malam Jumaat. Kita masih mempunyai banyak masa,” kata Trump sebelum membacakan The Snake, sebuah puisi yang sering digunakannya dalam rapat umum kempen untuk menekankan pendiriannya yang menentang imigresen.
“Apa sebenarnya yang perlu saya lakukan? Pergi dan bom Iran sedikit lagi?” soalnya.
Sehingga Jumaat, tentera Amerika telah mengarahkan 68 kapal komersial untuk mematuhi sekatan tersebut, menurut Markas Pusat AS (Centcom) dalam satu hantaran di media sosial.
AS dan Iran masih gagal mencapai perjanjian damai ketika konflik itu menghampiri tempoh enam bulan.
Pentadbiran Trump berusaha memberi tekanan kewangan terhadap Iran dengan menyekat akses ke Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi eksport minyak negara itu. – AGENSI
The post Trump dakwa Selat Hormuz wilayah AS dalam kempen politik appeared first on Utusan Malaysia.


