
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam menyalahkan gelombang protes pelajar di Perancis atas faktor Islam dan imigran, sekali gus mengukuhkan naratif sayap kanan globalnya menjelang pilihan raya separuh penggal yang mencabar di tanah airnya.
“Apa yang berlaku di Perancis tidak lain dan tidak bukan adalah migrasi beramai-ramai yang tidak terkawal.
“Ini bukan soal sekolah, ini mengenai Islam yang mahu mengambil alih sebuah negara yang pernah hebat suatu ketika dahulu!” kata Trump dalam satu hantaran di rangkaian Truth Social miliknya.
Pelajar-pelajar Perancis telah menyekat pintu masuk ke ratusan sekolah tinggi di seluruh negara sejak akhir September bagi menuntut kemudahan yang lebih baik, dalam protes yang telah bertukar menjadi pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Penunjuk perasaan telah turun ke jalanan di seluruh Perancis semalam.
Trump tidak mengulas lanjut mengenai dakwaannya atau mengemukakan sebarang bukti.
Di Perancis, tiada kaitan yang telah dikenal pasti antara pergerakan pelajar tersebut dengan sebarang tuntutan berasaskan agama atau identiti.
Namun, tokoh-tokoh utama dalam pergerakan Make America Great Again pimpinan Trump telah menggunakan protes di Perancis itu untuk menegaskan pandangan mereka mengenai imigrasi menjelang pilihan raya separuh penggal AS bulan depan.
Penganalisis MAGA berulang kali memuat naik video pergolakan di Perancis itu dalam tempoh beberapa hari membawa kepada hantaran Trump tersebut. – AFP
The post Trump kaitkan Islam dan imigran punca protes pelajar di Perancis appeared first on Kosmo Online.


