
PARIS: Lebih 250,000 orang menyertai demonstrasi di puluhan bandar di Perancis semalam, dalam protes besar-besaran membabitkan guru, ibu bapa dan pelajar sekolah menengah yang menyaksikan pertempuran dengan polis.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kumpulan yang bertindak ganas di pinggir perarakan di Paris, Strasbourg, Rennes dan Toulouse, selain beberapa bandar lain.
Kementerian Dalam Negeri berkata, jumlah peserta mencecah lebih 250,000 orang, manakala penganjur mendakwa kira-kira 450,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.
Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, menyifatkan protes itu sebagai demonstrasi pelajar paling ganas dalam tempoh beberapa dekad.
Sekurang-kurangnya 215 remaja dan 85 kakitangan sekolah cedera dalam pertempuran setakat ini, kata Lecornu ketika berucap kepada anggota Parlimen.
Pejabatnya turut memaklumkan lebih 700 anggota polis cedera dalam insiden berkenaan.
Demonstrasi itu tercetus ketika kemarahan awam semakin meningkat di Perancis, dengan sokongan terhadap parti populis berhaluan kanan dan kiri melonjak menjelang pilihan raya presiden yang dijadualkan pada musim bunga.
Pada Isnin, seorang remaja dilaporkan kehilangan tangan dalam insiden berkaitan protes berkenaan.
Kerajaan turut berdepan tekanan untuk mengawal hutang awam ketika pertumbuhan ekonomi lemah, selain menghadapi kesukaran melaksanakan tugas asas termasuk meluluskan belanjawan.
Krisis politik itu berlarutan selepas sekutu Presiden Emmanuel Macron kehilangan majoriti dalam pilihan raya Parlimen pada 2024.
Presiden Emmanuel Macron mengadakan mesyuarat tergempar bersama Lecornu dan beberapa menteri kanan pada Selasa, lapor penyiar BFM.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan demonstrasi berkenaan sebagai bukti penghijrahan di Perancis sudah “tidak terkawal”.
“Ini bukan mengenai sekolah, sebaliknya mengenai Islam mahu mengambil alih sebuah negara yang pernah hebat,” tulis Trump dalam hantaran di platform Truth Social.
Bagaimanapun, tuntutan pelajar tidak berkaitan agama atau isu penghijrahan, sebaliknya tertumpu kepada kekurangan tenaga kerja dan peruntukan dalam sektor pendidikan.
Parti National Rally pimpinan Marine Le Pen yang berhaluan kanan turut tidak mengaitkan demonstrasi itu dengan dasar penghijrahan Perancis.
The post Perancis berdepan demonstrasi pelajar paling ganas appeared first on Utusan Malaysia.




