Trump Kecewa, Tarik Seruan Kepada Jepun & Negara Lain Hantar Kapal Perang Ke Selat Hormuz

WorldPolitics
18 Mar 2026 • 10:01 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Trump Kecewa, Tarik Seruan Kepada Jepun & Negara Lain Hantar Kapal Perang Ke Selat Hormuz

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan gesaan agar Jepun, sekutu North Atlantic Treaty Organization (NATO), Korea Selatan dan negara lain menghantar kapal perang untuk membantu keselamatan di Selat Hormuz.

The Japan Times melaporkan keputusan mengejut itu dibuat kurang dari sehari sebelum Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dijadual berangkat ke Washington bagi pertemuan penting dengan pemimpin Amerika Syarikat.

"Disebabkan kejayaan ketenteraan yang telah kita capai, kita tidak lagi ‘memerlukan’ atau mengingini bantuan negara NATO

"Kita tidak pernah memerlukannya. Begitu juga Jepun, Australia, atau Korea Selatan. Sebagai Presiden Amerika Syarikat, negara paling berkuasa di dunia, kita tidak memerlukan bantuan sesiapa pun," kata Trump menerusi media sosial.

Pada Isnin lalu, Trump menyuarakan kekecewaan terhadap respons hambar daripada negara-negara berkenaan, menyifatkannya sebagai 'sangat mengecewakan'.

Gesaan itu dibatalkan selepas Takaichi memaklumkan kepada parlimen bahawa Tokyo tidak merancang menghantar kapal Pasukan Pertahanan Diri (SDF) ke Timur Tengah kerana halangan undang-undang.

Jepun akan terus berhubung dengan Iran

Beliau berkata Jepun akan terus berhubung dengan Iran untuk meredakan ketegangan serta bertukar maklumat dengan pelbagai negara.

Kerajaan Jepun sedang meneliti secara aktif langkah lain dalam lingkungan undang-undang, termasuk memberi sokongan rasmi kepada gabungan negara yang sehaluan untuk memastikan kebebasan navigasi di selat tersebut, laluan utama bagi minyak ke Jepun.

Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara menegaskan bahawa mengekalkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah termasuk keselamatan navigasi di Selat Hormuz adalah amat penting kepada komuniti antarabangsa termasuk Jepun.

Sebagai langkah diplomatik, Menteri Luar Toshimitsu Motegi mengadakan panggilan telefon dengan diplomat tertinggi Iran, Abbas Araghchi menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur serta memastikan keselamatan kapal di selat itu termasuk kapal Jepun dan negara Asia lain.

Perbincangan mengenai situasi Iran dijangka menjadi agenda utama apabila Takaichi bertemu Trump di Pejabat Oval Khamis ini.

Difahamkan, Jepun dijangka mengekalkan pendekatan berhati-hati dan mengelak menyokong atau menentang perang terhadap Iran.

Trump juga mengkritik negara NATO yang enggan menghantar kapal perang bagi keselamatan Selat Hormuz, menyifatkan pakatan itu sebagai jalan sehala dan mengulang kritikan beliau terhadap pakatan Atlantik Utara sepanjang penggal kedua di Rumah Putih.

Walaupun Trump mendakwa Amerika Syarikat dan Israel telah memusnahkan unit tentera Iran, namun Selat Hormuz masih hampir tertutup dan memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global dengan harga minyak sekitar $100 setong.

Baca juga: