Trump Kecualikan Telefon Pintar Dan Komputer Daripada Cukai Import Baharu

WorldTechnology
13 Apr 2025 • 11:28 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengecualikan telefon pintar, komputer dan beberapa peranti elektronik lain daripada cukai import baharu yang sepatutnya dikenakan minggu ini.

Menurut Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, barangan seperti telefon pintar, cip komputer, kad memori dan sel solar tidak akan dikenakan cukai import khas, malah turut dikecualikan daripada cukai global sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara.

Langkah tersebut diambil selepas syarikat-syarikat teknologi AS seperti Apple dan Microsoft menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan lonjakan harga peranti elektronik.

Malah, terdapat anggaran yang menyatakan harga iPhone boleh meningkat sehingga tiga kali ganda sekiranya cukai penuh dikenakan. Ini bermakna sebuah iPhone yang berharga sekitar RM5,000 boleh mencecah lebih RM15,000.

image is not available
Terdapat anggaran harga iPhone boleh meningkat sehingga tiga kali ganda sekiranya cukai penuh dikenakan.

Dalam pada itu, Trump memaklumkan kepada media bahawa keputusan ini bersifat sementara dan bertujuan memberi peluang kepada syarikat untuk memindahkan operasi kilang dari China ke Amerika Syarikat.

Katanya, Amerika tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada China untuk menghasilkan teknologi penting seperti telefon pintar dan komputer riba.

Difahamkan, Apple merupakan antara syarikat yang paling terkesan dengan isu ini kerana lebih 80 peratus iPhone yang dipasarkan di AS dihasilkan di China.

Kini, Apple sedang mempercepatkan pengeluaran di India untuk mengurangkan kebergantungan tersebut. Malah, Vietnam turut menjadi salah satu lokasi alternatif utama bagi pengeluar telefon pintar.

Trump sebelum ini merancang untuk mengenakan tarif yang tinggi terhadap pelbagai negara, namun pada Rabu lalu, beliau mengumumkan penangguhan selama 90 hari bagi negara-negara yang tidak membalas tindakan tarif AS. Hanya China yang dikenakan tarif lebih tinggi iaitu sebanyak 145 peratus.

Trump menjelaskan bahawa tindakan mengenakan tarif ini bertujuan “membetulkan ketidakadilan” dalam sistem perdagangan global serta membawa kembali pelaburan dan peluang pekerjaan ke dalam negara.

Sumber: BBC

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.