
Trump Larang Import Robot Humanoid Buatan Luar Negara
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan larangan import robot humanoid dan robot berkaki empat ke negara itu atas alasan keselamatan negara, lapor AFP.
Kebanyakan robot humanoid yang dijual di AS ketika ini dihasilkan di luar negara, khususnya di China.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), kategori baharu dikenali sebagai 'peranti robotik canggih' telah ditambah ke dalam senarai produk dan syarikat yang dilarang diimport ke AS.
Sebelum ini, beberapa jenis dron serta syarikat China seperti Huawei dan China Telecom telah pun tersenarai.
Kini, senarai itu turut merangkumi robot mudah alih iaitu robot yang meniru cara manusia atau haiwan bergerak dengan berjalan menggunakan dua atau empat kaki.

Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Rumah Putih, yang menyimpulkan bahawa robot buatan luar negara berpotensi mewujudkan risiko keselamatan siber yang boleh mengancam infrastruktur kritikal serta keselamatan penduduk AS.
Bagaimanapun, Jabatan Pertahanan (Pentagon) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) diberi kuasa untuk memberikan pengecualian dalam kes tertentu.
Ketika ini, kebanyakan robot humanoid digunakan dalam sektor perindustrian di kawasan tertutup seperti kilang pembuatan kereta dan gudang penyimpanan.
Baca juga:
Trump Mahu Presiden FIFA Gianni Infantino Jadi Setiausaha Agung PBB
Presiden Brazil Sifatkan Rancangan Trump Di Hormuz Sebagai 'Pelanunan'
Antara contoh yang dirujuk oleh pasukan petugas ialah kes melibatkan pengatur cara dari Perancis, Sammy Azdoufal, yang dilaporkan berjaya mengakses data daripada ribuan robot vakum keluaran syarikat China, DJI.
Larangan itu hanya terpakai kepada model baharu dan tidak melibatkan robot yang telah dijual atau diluluskan untuk digunakan di AS sebelum ini.
Langkah tersebut turut dilihat selari dengan usaha pentadbiran Trump untuk memperkukuh sektor pembuatan domestik.



