Trump Media Perjelas Status Bitcoin $165 Juta Yang Dipindahkan

WorldBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 5:40 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Trump Media Perjelas Status Bitcoin $165 Juta Yang Dipindahkan

Trump Media & Technology Group (TMTG), syarikat di sebalik platform media sosial Truth Social, menafikan dakwaan bahawa ia telah menjual pegangan Bitcoin bernilai $165 juta selepas data blockchain menunjukkan sebanyak 2,628 Bitcoin (BTC) dipindahkan ke platform Crypto.com pada Sabtu.

Penjelasan itu dibuat susulan spekulasi yang timbul dalam kalangan pemerhati pasaran selepas transaksi tersebut dikesan oleh firma analisis blockchain, Lookonchain.

Menurut jurucakap Trump Media, Bitcoin berkenaan hanya dipindahkan ke Crypto.com dan bukannya dijual.

Penjelasan itu selari dengan tindakan syarikat pada Mei lalu apabila pemindahan aset digital yang sama turut dilakukan tanpa melibatkan sebarang urus niaga jualan.

Data blockchain hanya menunjukkan lokasi baharu aset tersebut disimpan, namun ia tidak membuktikan bahawa Bitcoin berkenaan telah dilepaskan di pasaran.

Crypto.com merupakan salah satu institusi penjaga aset digital yang dipilih Trump Media bagi menyokong strategi rizab Bitcoin syarikat sejak Mei 2025, selain Anchorage Digital.

Langkah itu membolehkan syarikat mengurus dan menyimpan pegangan Bitcoin mereka melalui penyedia perkhidmatan yang diiktiraf.

Selepas transaksi tersebut, dompet yang dikaitkan dengan Trump Media masih memegang kira-kira 4,261 BTC yang dianggarkan bernilai $268 juta berdasarkan harga semasa.

Jumlah itu hampir menyamai 4,260.73 BTC yang dilaporkan sebagai cagaran bagi nota boleh tukar syarikat setakat 31 Mac 2026.

Dalam laporan kewangan suku pertama 2026, Trump Media memaklumkan bahawa Bitcoin yang dijadikan cagaran tidak boleh dipindahkan atau diagihkan sehingga syarat pembiayaan dipenuhi, dengan sekatan itu dijangka berakhir selewat-lewatnya pada 29 Mei 2028.

Selain penyimpanan aset digital, hubungan Trump Media dengan Crypto.com turut merangkumi beberapa inisiatif lain termasuk pembangunan produk berkaitan mata wang kripto dan perancangan token ganjaran untuk pemegang saham.

Syarikat itu sebelum ini turut menarik balik permohonan pelancaran ETF Bitcoin serta ETF Bitcoin dan Ethereum yang dikemukakan pada Mei lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Trump Media turut menjadi perhatian selepas memperkenalkan perkhidmatan Truth API yang menawarkan akses awal kepada kandungan pengguna berprofil tinggi, termasuk Presiden Donald Trump, dengan yuran langganan sehingga
$100,000 sebulan.

Perkhidmatan itu menerima kritikan daripada beberapa ahli politik Amerika Syarikat yang mendakwa ia berpotensi menimbulkan isu penyalahgunaan jawatan dan kemungkinan melanggar undang-undang perdagangan orang dalam.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved