Presiden Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 100% ke atas import cip dan semikonduktor. Menurut beliau satu-satunya cara untuk mengelakkan tarif ini ialah syarikat pengeluar perlu menghasilkan cip dan semikonduktor di dalam Amerika Syarikat.

Bila tarif melampau ini akan dikuatkuasakan belum lagi diumumkan oleh Trump. Tetapi ia akan mendatangkan impak serta merta ke atas industri komputer, peranti pintar, elektronik, automotif, barangan dapur dan banyak lagi yang memerlukan cip untuk berfungsi.
Ia juga adalah berita amat buruk bagi Malaysia kerana kelengkapan semikonduktor dan elektronik ialah eksport terbesar negara ke Amerika Syarikat. Tahun lalu sebanyak $23.68 bilion (~RM 100 bilion) dieksport ke Amerika dalam kategori ini. Daripada jumlah ini, $16.2 billion (~RM 68.5 bilion) ialah cip yang bersamaan 20% keseluruhan import semikonduktor Amerika Syarikat tahun 2024.

