“Kita beri AS$60 juta, tapi tiada siapa pun ucap terima kasih” – Trump
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menimbulkan kekecohan apabila menyuarakan rasa kecewa kerana tiada rakyat Palestin di Gaza yang mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu memberikan bantuan makanan bernilai AS$60 juta (sekitar RM280 juta).
“Baru-baru ini, AS beri AS$60 juta. Itu jumlah yang besar. Negara lain tiada beri apa-apa pun. Seseorang patut ucap ‘terima kasih’,” kata Trump dalam sidang media bersama Perdana Menteri United Kingdom, Sir Keir Starmer, pada Isnin.
Tambahnya lagi, “Kami beri AS$60 juta dua minggu lalu untuk bantuan makanan. Sekurang-kurangnya seseorang patut kata ‘terima kasih’.”
Beliau turut mendakwa negara-negara Eropah langsung tidak menyumbang apa-apa kepada Gaza, walaupun laporan antarabangsa menunjukkan negara seperti Jordan dan Emiriah Arab Bersatu sudah pun menyalurkan bantuan melalui penghantaran udara.
Baca juga:
Nada tidak sensitif ketika Gaza berdepan krisis kemanusiaan
Kenyataan Trump dibuat ketika ratusan ribu penduduk Gaza sedang berdepan krisis kebuluran, pengeboman dan kematian sejak lebih 20 bulan lalu akibat konflik yang berpanjangan. Banyak laporan menyatakan bantuan kemanusiaan sering disekat atau dipolitikkan, termasuk oleh pihak tentera Israel yang didakwa menyerang tapak pengagihan makanan.
Amerika Syarikat pula secara umumnya dikritik hebat kerana menjadi antara penyumbang utama senjata kepada Israel dalam konflik ini. Justeru, permintaan Trump agar rakyat Gaza mengucapkan ‘terima kasih’ dianggap sinis dan tidak sensitif oleh banyak pihak.
Malah, laporan dari The Guardian mendedahkan sebahagian daripada dana bantuan itu disalurkan kepada sebuah organisasi kontroversi, Gaza Humanitarian Fund (GHF), yang didakwa memonopoli pengagihan dan dikaitkan dengan isu pempolitikkan bantuan.
Baca juga:
Enggan beri komitmen rundingan damai
Trump turut ditanya sama ada beliau akan berusaha untuk memulakan semula rundingan damai antara Israel dan Hamas. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jawapan jelas.
Sebaliknya, Trump berkata beliau dan Starmer akan berbincang tentang isu tersebut, termasuk perjanjian perdagangan antara AS dan UK yang menurutnya sangat menguntungkan kedua-dua pihak.
“Kita akan bincang banyak perkara. Kita ada perjanjian perdagangan yang bagus… Saya rasa UK sangat gembira dengannya. Mereka dah cuba 12 tahun untuk dapatkan perjanjian itu,” ujarnya.
Sumber: New Republic, Independent
The post Trump minta rakyat Gaza ucap ‘terima kasih’ lepas AS beri bantuan makanan RM280 juta appeared first on The Reporter.

