Trump sah hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur

31 Jul 2025 • 3:05 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan itu diterima secara rasmi menerusi satu panggilan telefon bersama Trump pada pagi tadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada 6.50 pagi, saya berpeluang bercakap melalui telefon dengan Presiden Trump. Beliau menyatakan penghargaan kerana Malaysia telah memainkan peranan yang berkesan dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio telah memberi bayangan mengenai kemungkinan Trump menghadiri sidang kemuncak berkenaan ketika kunjungan hormat ke Pejabat Perdana Menteri pada 10 Julai lalu. Jemputan rasmi turut disampaikan kepada Trump melalui Rubio sempena lawatan itu.

Baca juga:

Dalam perbualan telefon sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu perdagangan termasuk tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.

“Setelah mendapat penjelasan daripada saya, maka beliau memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok,” ujar Anwar.

Difahamkan, perbincangan lanjut mengenai tarif sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama United States Trade Representative serta Setiausaha Perdagangan AS.

Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dijadualkan berlangsung bersekali dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti. Kali terakhir Presiden AS hadir ke Kuala Lumpur bagi acara seumpamanya adalah pada November 2015 menerusi penyertaan bekas Presiden, Barack Obama.