
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis telah menandatangani dua perintah eksekutif baharu yang bertujuan memperluaskan kategori bayi-bayi yang tidak layak mendapat kerakyatan automatik AS dan melarang amalan pelancongan kelahiran.
Langkah terbaharu ini dijangka berdepan dengan cabaran undang-undang di mahkamah.
Usaha memansuhkan kerakyatan hak lahir telah lama menjadi fokus utama dalam agenda tindakan tegas imigresen bagi penggal kedua pentadbiran Trump.
Beliau turut menyelar keputusan Mahkamah Agung terdahulu yang menghalang cubaannya untuk menyekat bayi-bayi asing daripada mendapat kewarganegaraan AS ketika dilahrkan secara automatik.
Beliau menyifatkannya sebagai satu keputusan yang sangat malang.
Perintah eksekutif pertama bertujuan memperluaskan tafsiran pengecualian di bawah Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS.
Timbalan Ketua Staf Rumah Putih, Stephen Miller memaklumkan bahawa perintah ini menyasarkan anak-anak kepada ahli pertubuhan pengganas luar negara dan kumpulan yang bertindak bagi pihak kerajaan asing.
Selain itu, ia turut merangkumi anak kepada pegawai kerajaan luar dan individu yang terlibat dalam aktiviti penipuan untuk mendapatkan kewarganegaraan.
Perintah eksekutif kedua pula khusus menyasarkan industri ‘pelancongan kelahiran’.
Ia merupakan amalan individu luar yang melancong ke AS semata-mata untuk melahirkan anak supaya bayi tersebut mendapat kerakyatan AS secara automatik.
Trump mendakwa amalan tersebut telah dijadikan perniagaan dan mengeksploitasi sistem perundangan negara itu.
Bagaimanapun, data dari Institut Dasar Migrasi menunjukkan bahawa penglibatan dalam pelancongan kelahiran adalah jauh lebih rendah daripada dakwaan Trump. Adalah dianggarkan sekitar 22,000 hingga 26,000 bayi sahaja setahun dilahirkan iaitu kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan kelahiran di AS. – AGENSI
The post Trump tandatangani perintah hadkan hak bayi asing lahir di AS dapat kerakyatan appeared first on Utusan Malaysia.



