Trump tangguh tarif 50 peratus ke atas Kanada

WorldPolitics
19 Aug 2026 • 10:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump tangguh tarif 50 peratus ke atas Kanada

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif 50 peratus terhadap barangan dari Kanada yang dijadual berkuat kuasa tengah malam tadi.

Trump menerusi catatan di media sosial berkata, tarif berkenaan ditangguhkan selama tiga hari susulan AS dan Kanada mencapai satu perjanjian, tertakluk kepada pemuktamadan dokumen.

“Saya menangguhkan tarif 50 peratus terhadap Kanada yang dijadual berkuat kuasa pagi esok selama tiga hari, berdasarkan hakikat bahawa Kanada dan AS, tertakluk kepada pemuktamadan dokumen, telah mencapai PERJANJIAN!” katanya.

Bagaimanapun, Trump tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perjanjian berkenaan, selain menyebut projek saluran paip Keystone XL yang menurutnya mungkin dihidupkan semula.

Pejabat Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, belum memberikan sebarang kenyataan berhubung perjanjian itu.

Tarif 50 peratus berkenaan dijangka memberi kesan kepada import dari Kanada bernilai kira-kira AS$20 bilion (RM81 bilion), menurut Pejabat Wakil Perdagangan AS.

Antara barangan yang bakal terjejas termasuk kayu hoki, bahan binaan tertentu, minuman keras dan beberapa jenis pakaian.

Perjanjian yang dicapai pada saat-saat akhir itu dimuktamadkan selepas lebih seminggu rundingan tegang dan perbincangan teknikal.

Pada petang Isnin, Carney menyifatkan rundingan dengan pentadbiran Trump sangat rumit dan sengit, namun tidak memberikan butiran lanjut. Pejabat Carney memaklumkan NBC News, beliau mengadakan perbualan dengan Trump pada petang berkenaan dan sekali lagi lewat Selasa.

Sebelum ini, Carney menyifatkan tarif yang diancam itu sebagai pelanggaran secara langsung terhadap Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA), yang dimeterai Trump ketika penggal pertamanya sebagai Presiden AS.

Dewan Perniagaan AS dalam kenyataan pada Selasa memberi amaran sekiranya tiada perjanjian dicapai, pengenalan tarif lebih tinggi akan menjejaskan kedua-dua ekonomi, meningkatkan kos bagi keluarga AS, terus mengganggu rantaian bekalan kritikal serta mengancam 13 juta pekerjaan rakyat Amerika yang bergantung kepada pakatan perdagangan Amerika Utara itu.

Tarif yang dijadual dikenakan tersebut juga akan menjadi kali pertama Seksyen 338 Akta Tarif 1930 digunakan.

Undang-undang itu membolehkan Rumah Putih mengenakan tarif sehingga 50 peratus terhadap mana-mana rakan dagang asing yang mendiskriminasi perdagangan AS.

The post Trump tangguh tarif 50 peratus ke atas Kanada appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved