Trump Tiba Di Malaysia, Bawa Anwar Naiki ‘The Beast’ Ke KLCC

26 Oct 2025 • 11:18 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Air Force One pada jam 9.48 pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Air Force One, pesawat Boeing 747-200B yang diubah suai dan berfungsi sebagai ‘Rumah Putih Terbang’ bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi juga berperanan sebagai pusat arahan keselamatan dan pejabat.

Ia turut dilengkapi ruang mesyuarat, kemudahan perubatan, serta kediaman mewah yang signifikan untuk penyandang portfolio paling berkuasa dunia itu.

Turut menyambut ketibaan Trump ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Trump dan Anwar kemudiannya dilihat beredar dengan menaiki limosin presiden, The Beast, menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kedua mereka dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 yang dijangka bermula pada jam 2 petang.

Presiden AS itu juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar pada hari yang sama.

Lawatan ini, yang berlangsung dari 26 hingga 27 Oktober, adalah sempena peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di bawah pimpinan Anwar.

Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Asia Tenggara sejak kembali memegang jawatan presiden, dan lawatan ketiga oleh Presiden AS ke Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014. – Getaran, 26 Oktober 2025