Trump ‘U-Turn’ tarif import, China tetap jadi sasaran

WorldPolitics
10 Apr 2025 • 4:05 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengejutkan ramai apabila membuat pusingan-U terhadap perlaksanaan tarif import yang baru saja diumumkan. Dalam kenyataan terbaharu, pentadbiran Trump menangguhkan kenaikan tarif terhadap kebanyakan negara tetapi tidak kepada China.

Langkah itu dibuat selepas beberapa jam perlaksanaan tarif baharu diumumkan, dipercayai akibat tekanan dari syarikat besar dan pasaran kewangan yang bimbang akan kesan ekonomi jangka pendek.

Namun, China terkecuali daripada senarai pusingan-U terbabit apabila tarif terhadap barangan import dari negara itu dinaikkan kepada 125%, sebagai langkah tindak balas terhadap tindakan China menaikkan tarif 84% ke atas produk AS.

Trump menjelaskan bahawa keputusan ini bertujuan memberi peluang kepada lebih 75 negara untuk menjalankan rundingan lanjut dalam tempoh 90 hari. Negara-negara yang sedia berbincang dan tidak bertindak balas akan menerima layanan istimewa, termasuk penurunan tarif kepada 10%.

Kesan daripada pengumuman ini dirasai serta-merta apabila berlakunya lonjakan indeks pasaran saham kepada beberapa syarikat saham terkenal. Pelabur menarik nafas lega selepas melihat langkah penangguhan yang memberi lebih kestabilan kepada pasaran.

Namun, beberapa sektor seperti farmakeutikal dan kesihatan masih tidak dikecualikan daripada cukai baharu. Ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pengguna, khususnya dalam soal harga ubat dan peralatan perubatan.

Di sebalik langkah ini, banyak pihak menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan AS. Ada yang menyifatkan tindakan Trump sebagai tidak konsisten dan sukar dijangka.

Walaupun begitu, kesan global tetap dirasai. Negara pengeluar utama, terutama China, dijangka memberi tindak balas balas. Ketegangan perdagangan antara dua kuasa besar ini dijangka berlarutan dan memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga barang di seluruh dunia.