
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan bahawa penerokaan minyak, gas, dan mineral secara besar-besaran bakal bermula di Greenland, sambil menegaskan kepentingan strategik pulau Artik berkenaan terhadap keselamatan AS dan Eropah.
Langkah itu menyusul selepas Washington menandatangani perjanjian keselamatan bersama pemimpin Greenland dan Denmark, berikutan ancaman terdahulu oleh Trump untuk mengambil alih wilayah strategik milik Copenhagen itu secara paksa.
Greenland, yang terletak di laluan peluru berpandu terpendek antara Russia dan AS, menjadi lokasi amat kritikal bagi merealisasikan sistem perisai pertahanan ‘Golden Dome’ yang diidamkan Trump.
Selain itu, pulau berkenaan memiliki rizab unsur nadir bumi yang belum diterokai, di samping potensi sebagai laluan perkapalan baharu berikutan pencairan ais kutub.
“Penerokaan minyak, gas, dan mineral secara besar-besaran sedang bersiap sedia untuk bermula di Greenland kita yang baharu dan indah!” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.
Memetik pandangan pakar, Trump turut mendakwa bahawa jumlah simpanan minyak yang mudah diakses di wilayah itu adalah jauh lebih besar berbanding hampir mana-mana kawasan lain di dunia, bagaimanapun beliau tidak memperincikan penglibatan syarikat AS secara spesifik.
Ogos lalu, laporan media mengenai operasi persediaan sebuah syarikat minyak AS di kawasan terpencil timur Greenland telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pihak berkuasa tempatan. – AFP
The post Trump umum penerokaan minyak, gas, dan mineral di Greenland appeared first on Kosmo Online.

