sarah14/10/2026 - 14:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan PETRONAS memeterai perjanjian pajakan tanah bagi projek Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) dan Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) bagi memperkukuh potensi pelaburan serta pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, infrastruktur berkenaan perlu dimanfaatkan bukan sekadar untuk operasi semasa, malah sebagai pemangkin pelaburan dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi, khususnya di koridor Kimanis hingga Sipitang.
Beliau berkata, Sabah mahu pembangunan industri minyak dan gas melangkaui aktiviti penerokaan dan pengeluaran sumber, sebaliknya mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas melalui pembangunan vendor tempatan, teknologi, tenaga kerja mahir dan aktiviti hiliran.
“Persoalan lebih penting bukan semata-mata berapa banyak sumber yang dimiliki Sabah, tetapi sejauh mana nilai dapat diwujudkan daripada sumber berkenaan untuk manfaat negeri dan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pemeteraian perjanjian antara SEDCO dan PETRONAS itu berlangsung di Kota Kinabalu hari ini.
Hajiji berkata, perkembangan aktiviti penerokaan dan penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuka prospek lebih besar kepada industri minyak dan gas Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu syarikat serta vendor tempatan meningkatkan keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi dan modal supaya dapat menyertai peluang lebih besar dan bernilai tinggi dalam rantaian industri.
Beliau berkata, PETRONAS juga mempunyai peranan penting dalam memperluas penyertaan pemain tempatan, manakala pembangunan modal insan perlu diperkukuh bagi membolehkan anak Sabah membina kerjaya dalam bidang teknikal dan profesional sektor berkenaan.
Hajiji menambah, SEDCO perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menarik pelaburan dan membentuk kerjasama strategik dengan pemain industri, termasuk meneroka peluang pembangunan tanah, infrastruktur dan komersial yang mampu menjana pulangan kepada negeri.
Beliau berharap kerjasama SEDCO dan PETRONAS dapat berkembang menjadi perkongsian strategik yang lebih luas, sekali gus memastikan pembangunan sumber dan aset Sabah menghasilkan nilai ekonomi yang nyata serta berpanjangan.- DagangNews.com




