Trump umum RM47 bilion untuk Gaza, negara teluk turut hulur lebih RM33 bilion

WorldPolitics
20 Feb 2026 • 7:30 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

WASHINGTON DC – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan sumbangan berbilion dolar bagi bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan yang diadakan di Washington pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Trump, Amerika Syarikat menyumbang sebanyak AS$10 bilion bersamaan RM 47 bilion kepada badan baharu yang ditubuhkan bagi menyelaras bantuan dan usaha pemulihan di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata, beberapa negara lain turut menyatakan komitmen kewangan yang signifikan. Kazakhstan, Azerbaijan, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan Kuwait secara kolektif berikrar menyumbang lebih AS$7 bilion bersamaan RM33 bilion bagi menyokong usaha kemanusiaan berkenaan.

Dalam pada itu, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) sedang mengumpulkan tambahan AS$2 bilion bagi memperkukuh operasi bantuan di lapangan, kata Trump.

Presiden AS itu turut memaklumkan bahawa Jepun komited untuk menjadi tuan rumah satu acara kutipan dana antarabangsa yang menurutnya “akan menjadi sangat besar”, sekali gus dijangka menarik lebih banyak sumbangan daripada komuniti global.

Pengumuman tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan infrastruktur di Gaza yang terjejas teruk akibat konflik berpanjangan.