sarah26/10/2026 - 10:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Dua anak syarikat TSH Resources Berhad (TSH) yang diperbadankan di Singapura menerima notis daripada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) supaya mengemukakan dokumen dan maklumat berkaitan undang-undang pencemaran jerebu rentas sempadan selewat-lewatnya pada 2 November 2026.
Menurut makluman TSH kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua anak syarikat terbabit ialah TSH Overseas Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd, yang menerima notis berkenaan pada 23 Oktober lalu.
Notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 10(1) Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura (Transboundary Haze Pollution Act 2014), yang membolehkan pihak berkuasa negara itu meminta dokumen dan maklumat bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang.
"Kami sedang meneliti notis tersebut dan akan berurusan dengan agensi berkenaan sewajarnya," menurut TSH dalam pengumuman itu.
Bagaimanapun, pengumuman kepada Bursa Malaysia tidak memperincikan jenis dokumen yang diminta, lokasi kejadian yang mungkin berkaitan dengan notis berkenaan atau sebarang dakwaan pelanggaran undang-undang terhadap kedua-dua anak syarikat itu.
Menurut kenyataan rasmi NEA bertarikh 23 Oktober 2026, agensi itu mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura, termasuk dua anak syarikat TSH, bagi mendapatkan maklumat mengenai hubungan korporat dengan syarikat berkaitan di Indonesia dan Singapura, lokasi konsesi tanah serta langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran sepanjang musim kering.
Agensi berita Bernama dalam laporan pada 23 Oktober turut melaporkan bahawa tindakan NEA itu menyusuli pengeluaran notis langkah pencegahan kepada 10 syarikat di Indonesia berhubung kebakaran di Sumatera dan Kalimantan. Notis tersebut mengarahkan syarikat terlibat mengambil langkah memadam dan mencegah kebakaran daripada merebak serta mengemukakan pelan tindakan kepada pihak berkuasa Singapura.
Sementara itu, The Edge Malaysia dalam laporan bertarikh 22 Oktober 2026 melaporkan bahawa TSH sebelum ini menafikan operasi perladangannya di Indonesia menyumbang kepada pencemaran jerebu rentas sempadan, walaupun sebanyak 274 titik panas dikesan dalam sempadan kawasan ladangnya antara 1 Januari hingga 21 Oktober 2026. Menurut TSH, semua titik panas itu berada di kawasan penempatan komuniti di luar kawasan operasi langsung kumpulan, manakala pasukan lapangannya telah mengambil tindakan memadam kebakaran serta membuat laporan polis.
Dalam laporan sama, menyatakan TSH memperuntukkan kira-kira RM2 juta setahun bagi langkah pencegahan, pemantauan dan pemadaman kebakaran di Indonesia, termasuk penggunaan 123 menara pemerhatian, 11 dron dan 28 pasukan pemadam kebakaran yang dianggotai 425 petugas terlatih. Bagaimanapun, penerimaan notis di bawah Seksyen 10(1) itu merupakan permintaan rasmi untuk mendapatkan maklumat dan tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa syarikat terbabit bertanggungjawab terhadap pencemaran jerebu.- DagangNews.com




