Malaysia bakal terima bekalan elektrik hijau dari Vietnam menerusi projek 1.3GW, Singapura beri kelulusan bersyarat

LocalEnvironment
26 Oct 2026 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia bakal terima bekalan elektrik hijau dari Vietnam menerusi projek 1.3GW, Singapura beri kelulusan bersyarat Image from: Malaysia bakal terima bekalan elektrik hijau dari Vietnam menerusi projek 1.3GW, Singapura beri kelulusan bersyarat sarah26/10/2026 - 14:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - Malaysia bakal menjadi penerima dan negara transit bekalan elektrik hijau dari Vietnam ke Singapura menerusi projek sambungan tenaga rentas sempadan berkapasiti sehingga 1.3 gigawatt (GW), yang dijangka memulakan operasi pada 2035.

 

Projek kerjasama Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS) itu mencapai perkembangan penting selepas Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) memberikan kelulusan bersyarat kepada Sembcorp Utilities Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries, sebagai pengimport elektrik yang ditetapkan bagi projek berkenaan.

 

Menurut kenyataan bersama konsortium yang terlibat hari ini, kelulusan bersyarat itu mencerminkan kemajuan yang dicapai menerusi kerjasama erat antara Malaysia, Vietnam dan Singapura dalam membangunkan projek sambungan tenaga rentas sempadan tersebut.

 

“Konsortium yang terlibat telah melaksanakan pelbagai aktiviti teknikal dan komersial dengan kerjasama rapat kerajaan, badan kawal selia serta pemegang kepentingan di ketiga-tiga negara sejak Perjanjian Pembangunan Bersama dimeterai pada Mei 2025,” menurut kenyataan itu.

 

Kelulusan berkenaan menyediakan asas kepada konsortium terbabit untuk meneruskan peringkat pembangunan seterusnya, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan projek yang diperlukan sebelum pelaksanaan.

 

Inisiatif VMS menyasarkan import sehingga 1.3GW elektrik tenaga boleh baharu ke Singapura melalui koridor tenaga yang menghubungkan ketiga-tiga negara, dengan memanfaatkan sumber tenaga angin luar pesisir Vietnam serta kemudahan tenaga solar dan sistem penyimpanan bateri di Malaysia.

 

Di bawah cadangan tersebut, elektrik boleh baharu yang dijana di Vietnam akan dihantar melalui Malaysia untuk dibekalkan kepada pengguna di Malaysia dan Singapura, sekali gus meletakkan negara sebagai penerima bekalan dan laluan transit tenaga serantau.

 

Projek itu dibangunkan menerusi kerjasama dua konsortium, iaitu PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) bersama Sembcorp Utilities, serta MY Energy Consortium yang dianggotai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

 

Kelulusan bersyarat tersebut disampaikan secara rasmi pada majlis pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Shamsul Ahmad.

 

Majlis itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Tan See Leng; serta Timbalan Menteri Kewangan Vietnam, Cao Anh Tuan.

 

MY Energy Consortium yang ditubuhkan oleh TNB dan PETRONAS bertujuan menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab transit tenaga serantau, selain memperkukuh perdagangan elektrik boleh baharu rentas sempadan menerusi pembangunan Grid Tenaga ASEAN.

 

Bagaimanapun, projek tersebut masih di peringkat pembangunan dan kelulusan bersyarat yang diberikan EMA bukan kelulusan akhir untuk memulakan operasi atau pengimportan elektrik.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved