TSMC Menghentikan Penghantaran CPU dan GPU Ke China Hari Ini Atas Arahan Amerika

TechnologyDigital
11 Nov 2024 • 9:51 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu lalu kami laporkan TSMC mula menggantung penghantaran cip dengan teknologi 7nm dan ke bawah kepada pelanggan mereka di China. Tindakan diambil selepas cip yang dipesan oleh sebuah syarikat China ditemukan pada cip AI keluaran Huawei yang telah dikenakan sekatan teknologi sejak 2020.

image is not available

Hari ini muncul pula laporan penghantaran akan dihentikan bermula hari ini atas arahan Amerika Syarikat. Pengantaraan bukan sahaja melibatkan cip CPU tetapi juga GPU yang mungkin digunakan untuk memintas pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai entiti Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat.

Pengeluaran masih lagi akan diteruskan tetapi tertakluk kepada proses kelulusan yang mungkin melibatkan Amerika Syarikat terlebih dahulu. Halangan jualan cip AI terkini keluaran AMD dan NVIDIA telahpun dikenakan oleh Amerika kepada China sejak dua tahun lalu. China cuba membangunkan cip AI sendiri tetapi usaha mereka mengalami pelbagai halangan disebabkan oleh halangan teknologi.

Antara usaha yang dilakukan China ialah melakukan pelaburan tinggi untuk memacu industri semikonduktor tempatan. Muncul laporan Huawei sanggup membayar gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC yang berpindah ke syarikat mereka.