KOTA KINABALU - Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai susulan gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao, Filipina, pada pagi Isnin.
Nasihat tersebut dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) susulan jangkaan tsunami melanda di kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
"Nasihat tsunami di Sabah, dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Penduduk kawasan pantai tersebut dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai serta mengikuti arahan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya menerusi satu kenyataan.
Gempa bumi tersebut bermagnitud 7.9 berlaku pada jam 7.37 pagi Isnin, pada kedalaman 50 kilometer dengan koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur, sekitar 747 km timur Semporna, Sabah.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya turut membuat pemantauan susulan kejadian gempa bumi di negara jiran tersebut.
"Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, BBP Tawau, BBP Kunak dan BBP Semporna telah menjalankan pemantauan di kawasan pesisir pantai, penempatan penduduk serta lokasi-lokasi berisiko di sekitar kawasan jagaan masing-masing.
"Hasil pemantauan yang dijalankan setakat ini mendapati tiada sebarang kerosakan struktur, kejadian luar biasa, peningkatan paras air laut yang membahayakan atau insiden kecemasan dilaporkan di kawasan terlibat. Keadaan semasa adalah terkawal dan selamat," katanya.
Bagaimanapun katanya, pasukan bomba akan terus melaksanakan pemantauan berterusan serta berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.




