
JOHOR BAHRU: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini didakwa berpunca daripada kebangkitan pengundi Melayu sehingga menyebabkan berlaku tsunami baharu dalam politik tanah air.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tsunami Melayu ini telah menyebabkan calon-calon Melayu yang mewakili PH di kedua-dua DUN berkenaan tewas, kecuali seorang wakil Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada PRN Johor lalu.
Selain itu katanya, tiada mana-mana calon Melayu daripada gabungan berkenaan memenangi kerusi DUN ditandingi mereka.
“Saya lihat jelas bahawa di Negeri Sembilan ini, dalam kalangan pengundi Melayu nampaknya mereka telah memutuskan untuk menyokong kembali UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).
“Perkara yang PH perlu ambil tahu, satu kesedaran pengundi Melayu yang agak jelas sudah bermula dari Johor, iaitu rakyat Melayu mahukan undi mereka tidak lagi ini berpecah. Mereka belajar daripada pengundi Cina yang memberikan sokongan penuh kepada DAP sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana pada Program Minum Pagi Bersama Komuniti Flat Taman Molek, di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut berkata, fokus PH terhadap kempen PRN Negeri Sembilan melibatkan prestasi ekonomi, tatakelola dan perancangan kerajaan yang dipimpin tidak menjadi keutamaan pengundi.
“Apa yang penting adalah semua undi Melayu perlu tertumpu kepada satu blok sahaja supaya tidak berpecah. Jadi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun kempen setiap hari pun tidak dapat melawan sentimen orang Melayu mahu bersatu.
“Di PRN Johor, bayangkan daripada 100 pengundi Melayu, hanya enam orang sahaja undi PH. Ini bermakna parti politik Melayu dalam PH seperti PKR dan Amanah tidak diyakini pengundi Melayu. Itu perlu dihormati, tetapi pada masa sama kepimpinan PH perlu terus usaha memenangi hati mereka,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, gabungan BN dan PN memenangi 25 kerusi, manakala PH hanya menang 11 kerusi.-UTUSAN
The post Tsunami Melayu punca PH kalah PRN berturut-turut – Hassan appeared first on Utusan Malaysia.






