
SEPERTI namanya, tuah nyata menyebelahi Pasukan Tuah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan STEM Racing F1 Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026.
Namun, pasukan yang dianggotai 10 pelajar berusia antara 16 hingga 17 tahun itu tidak bergantung kepada tuah semata-mata. Sebaliknya, kejayaan itu merupakan hasil kerja keras, pengorbanan dan persediaan rapi selama hampir 10 bulan.
Pertandingan yang berlangsung dari 8 hingga 12 Julai lalu di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasir Gudang, Johor itu diadakan dengan kerjasama universiti berkenaan bagi memartabatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Bukan sahaja muncul juara keseluruhan kebangsaan, Pasukan Tuah turut memenangi kategori Best Engineered Car yang mengiktiraf mutu reka bentuk, inovasi struktur dan ketepatan aerodinamik kereta dihasilkan mereka. Kejayaan berganda itu melayakkan pasukan berkenaan mewakili Malaysia di pertandingan antarabangsa di Singapura pada Oktober depan.
Pasukan tersebut dibarisi oleh Raja Raisha Raja Ahmad Shazli Iskandar, Puteri Rania Mohd Hafidz, Muhammad Nur Imran Muhammad Ibrahim, Adara Naqeeyah Akmal, Rahiman Zikry Azliyama, Sharifah Raina Syed Azhar, Haidhar Harris, Emily Zamir, Nur Imanina Noor Azman dan Kaeshav Ian Paneer Thiagaraja.
Setiap daripada mereka memikul tanggungjawab berbeza merangkumi pengurusan projek, pemasaran, sumber, reka grafik, kejuruteraan, pembuatan dan bahagian kreatif.
Pembahagian tugas itu menjadikan Tuah bukan sekadar sebuah pasukan perlumbaan, sebaliknya bergerak seperti sebuah organisasi kecil.
Guru pembimbing Tuah, Amirul Izham Ishak berkata, pasukan itu ditubuhkan kerana program internship dianjurkan oleh pasukan STEM Racing tahun lepas, Intecra.
Katanya, program itu dibuka kepada pelajar tingkatan tiga yang berminat, namun mereka perlu menjalani proses saringan dan temu duga sebelum terpilih.
“Nama Tuah dipilih kerana kami mahu mengangkat warisan budaya Malaysia dan menggabungkannya dengan bidang STEM serta inovasi. Nama ini juga diilhamkan daripada pahlawan Melayu, Hang Tuah yang terkenal dengan keberanian, kesetiaan dan semangat juang dalam mempertahankan tanah air,” katanya.

Persediaan pasukan itu menghadapi pertandingan kebangsaan bermula hanya seminggu selepas tamat saingan peringkat negeri. Bermula penghujung September tahun lalu, mereka menyusun jadual, membahagikan tugas, merancang aktiviti pemasaran dan menghubungi penaja berpotensi.
Proses menghasilkan kereta pula bermula dengan meneliti setiap peraturan teknikal pertandingan sebelum lakaran awal dibuat. Reka bentuk tersebut kemudian dibangunkan menggunakan perisian Autodesk Fusion serta diuji menerusi simulasi komputer dan ujian fizikal.
Bahagian casis sahaja bermula dengan empat konsep berbeza, sebelum setiap satunya diuji di litar bagi menentukan reka bentuk yang paling pantas, stabil dan menepati spesifikasi pertandingan.
Meskipun hanya sebuah kereta mini, namun setiap ukuran perlu dibuat dengan tepat. Beratnya perlu menghampiri had minimum 48 gram, manakala bentuk badan kereta direka bagi mengurangkan rintangan angin tanpa menjejaskan kekuatan strukturnya.
“Antara inovasi utama adalah penggunaan sistem double bearing dengan kedua-dua bearing ditempatkan pada bahagian tengah hab roda. Selepas melalui beberapa kajian dan ujian, rekaan itu didapati lebih stabil, ringan serta mudah dihasilkan.
“Kerja mereka tidak berakhir selepas badan kereta dipotong menggunakan mesin. Pelajar masih perlu memasang komponen, melakukan pemeriksaan kualiti, menggosok permukaan dan memastikan kemasan akhir jentera benar-benar sempurna.
“Proses menggosok badan kereta menjadi antara tugas paling rumit. Jika dilakukan secara berlebihan, bentuk asal dan ciri aerodinamik kereta boleh berubah sehingga tidak lagi menepati peraturan. Justeru, setiap bahagian perlu diukur serta diperiksa berulang kali,” ujar Amirul Izham.
Sementara itu, cabaran paling mendebarkan berlaku pada hari keempat pertandingan apabila tayar kedua-dua kereta rosak, sebelum pusingan kalah mati.
Dalam keadaan terdesak, pelajar bahagian kejuruteraan terpaksa ‘mengorbankan’ sebuah kereta dengan mengambil komponennya untuk menyelamatkan sebuah lagi jentera.
“Kami akhirnya berlumba dengan hanya sebuah kereta.
“Walaupun berdepan keadaan itu, pasukan tetap berjaya.
“Saya sangat bangga melihat kerjasama dan semangat juang pelajar ketika berdepan situasi tersebut,” ujarnya.
The post Tuah mahu harumkan nama negara di pentas dunia appeared first on Kosmo Online.


