Tuas terlepas, bom meletup sebelum balingan disempurna

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tuas terlepas, bom meletup sebelum balingan disempurna

PETALING JAYA: Tuas kesela­matan bom tangan (grenad) dipercayai terlepas sebelum balingan sempat disempurnakan sehingga menyebabkan letupan yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat (TDM) di Kem Hobart, Kedah pada 16 Jun lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan dialami mang­sa.

Katanya, pembaling grenad mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan ta­ngan kanan, manakala penga­suh latihan pula cedera parah pada kepala, badan serta anggota sebelah kiri.

“Corak kecederaan tersebut selaras dengan dapatan bahawa grenad berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota.

“Bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Dalam kejadian pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut ketika menjalani latihan pe­ningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart.

Letupan dalam kubu yang berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi itu menyebabkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah Sungip dan Allahyarham Sarjan Nor Azmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah sebelum disahkan me­ninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Mohamed Khaled berkata, susulan hasil siasatan itu, Kementerian Pertahanan dan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.

Beliau berkata, aspek ke­selamatan anggota akan terus menjadi keutamaan dalam setiap latihan ketenteraan.

“Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” katanya.

Siasatan terperinci itu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain memastikan langkah penambahbaikan dapat dilakukan terhadap prosedur latihan melibatkan penggunaan peralatan tempur.

ATM sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berlaku ketika latihan melempar grenad dalam program peningkatan tempur yang me­libatkan anggota TDM di kem berkenaan. – UTUSAN

The post Tuas terlepas, bom meletup sebelum balingan disempurna appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved