SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggantikan model semasa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sistem pencen nasional bagi memastikan tiada warga emas jatuh miskin selepas bersara, kata peguam, Khoo Kay Ping.
Penulis buku Demi Rakyat itu berkata, struktur KWSP sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menjamin keselamatan kewangan jangka panjang pesara, terutamanya selepas ramai menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh beberapa tahun selepas persaraan.
Menurut beliau, sistem pencen yang dicadangkan itu akan menyediakan pendapatan bulanan tetap kepada setiap rakyat Malaysia berusia 65 tahun ke atas sepanjang hayat mereka.
“Masalah dengan KWSP adalah ia tidak menjamin warga emas mempunyai wang yang mencukupi untuk kegunaan sepanjang hayat mereka.
“Selepas beberapa tahun, ramai yang menghabiskan simpanan dan terpaksa bekerja semula atau bergelut hanya untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Karangkraf, di sini pada Jumaat lalu.
Kay Ping memaklumkan, di bawah model yang dicadangkan itu, caruman yang dikutip daripada golongan pekerja sepanjang tempoh 30 tahun disalurkan terus ke dalam dana pencen nasional, bukannya dilaburkan bagi keuntungan di pasaran kewangan.
“Wang yang dikutip akan diagihkan semula secara berterusan kepada warga emas setiap bulan.
“Ia tidak akan dimasukkan ke pasaran saham atau terdedah kepada risiko ekonomi luar,” ujar beliau.
Kay Ping berpendapat bahawa sistem sedemikian akan menyuntik sejumlah besar kuasa perbelanjaan kembali ke dalam ekonomi domestik sambil menyelesaikan masalah kemiskinan warga emas secara serentak.
“Bayangkan tiada siapa perlu risau tentang masalah kewangan pada usia tua. Semua orang akan hidup dengan lebih tenang,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem persaraan di beberapa negara masih terlalu bergantung kepada pelaburan berkaitan pasaran, sekali gus menyebabkan nilai pencen terdedah dengan kemerosotan ekonomi dan turun naik matawang.
Jelasnya lagi, mekanisme KWSP menjadi semakin rapuh selepas pandemik Covid-19 apabila ramai pencarum mengeluarkan sebahagian besar simpanan mereka demi kelangsungan hidup.
“Itulah masalah utamanya. Selepas Covid-19, ramai yang menggunakan simpanan KWSP mereka.
“Kini, orang ramai juga digalakkan menggunakan KWSP untuk bayaran insurans perubatan. Ia tidak masuk akal kerana simpanan persaraan semakin berkurangan,” tambah beliau.
Di bawah cadangan tersebut, kata Kay Ping, rakyat Malaysia akan mencarum ke dalam sistem pencen sepanjang tempoh bekerja sebelum menerima bayaran bulanan terjamin bermula pada usia 65 tahun.
Beliau dalam masa sama menegaskan, sistem itu bakal meliputi semua golongan termasuk suri rumah, bukan hanya terhad kepada penjawat awam seperti skim pencen konvensional.
“Saya mahu satu sistem di mana tiada sesiapa menjadi miskin apabila mereka tua, malah suri rumah dan orang lelaki juga patut dilindungi di bawah sistem ini,” tegas peguam itu.
Kay Ping yang juga aktivis masyarakat menjelaskan bahawa individu masih bebas untuk bekerja selepas usia 65 tahun jika itu keinginan masing-masing, namun pencen tersebut akan bertindak sebagai jaminan keselamatan kewangan.
“Orang ramai masih boleh bekerja, melancong atau meneruskan perniagaan sendiri. Tetapi idea utamanya adalah tiada sesiapa patut menghadapi kemiskinan selepas 65 tahun,” katanya.
Tambah beliau, KWSP dalam bentuk hari ini lebih menyerupai akaun simpanan peribadi yang akhirnya boleh habis digunakan, khususnya buat golongan berpendapatan sederhana.
“Golongan kaya mungkin mempunyai simpanan berjuta-juta, tetapi orang biasa selalunya menghabiskan wang mereka dalam beberapa tahun sahaja.
“Sistem yang saya cadangkan ini memastikan semua orang menerima jumlah mencukupi setiap bulan sepanjang hayat,” ulas Kay Ping lagi.


