TUDM Terbangkan 2 Pesawat Ke Mesir, Bawa Warga Palestin Cedera Untuk Rawatan Di Malaysia

Entertainment
15 Aug 2024 • 5:30 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Dua pesawat pengangkut Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza di Mesir untuk misi kemanusiaan di Palestin.

Pesawat tersebut ditugaskan membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.

Memetik sumber Buletin TV3, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr memaklumkan bahawa dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.

“Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan perkara ini dan akan memberi maklumat lanjut sebaik sahaja pesawat tiba.

Misi ini menjadi perhatian ramai selepas ada individu berkongsi di laman media sosial mengenai pergerakan dua pesawat A-400M dengan nombor panggilan RMF148 dan RMF147.

Pesawat tersebut dilihat berlepas dari Pangkalan Udara Subang sekitar jam 7 malam pada hari Selasa sebelum dilaporkan tiba di Kaherah, Mesir.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa kerajaan akan membantu merawat warga Palestin yang cedera, terutamanya wanita dan kanak-kanak, dengan membawa mereka ke Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat semasa acara kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu.

Sumber: Buletin TV3

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.