Tuduhan Palsu Berkaitan Projek RTB, Nik Nazmi Lapor Polis

Politics
20 May 2023 • 7:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nik Nazmi Nik Ahmad - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan pejabatnya sudah membuat satu laporan polis ke atas beberapa akaun media sosial berhubung tuduhan palsu dibuat di platform itu.

Beliau berkata, tuduhan dibuat pihak tidak bertanggungjawab di Facebook, TikTok dan Telegram itu, turut membabitkan isu kebocoran maklumat sulit kerajaan serta fitnah terhadapnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

“Hantaran berniat jahat tersebut menuduh saya dan Perdana Menteri meluluskan projek RTB, tanpa melalui proses dan tatacara teratur.

“Ini secara jelas telah mendorong orang awam yang membaca hantaran terbabit, membuat tanggapan bahawa kami menyeleweng dana awam bagi tujuan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

https://www.facebook.com/100044465135060/posts/pfbid0269BoXZeLs7EkJ2ZSFaV54WM9Hjp7SuLHddLPhQdxxGsgEuvjdDMbG3B2CHmDwoURl/?mibextid=cr9u03

Justeru, beliau berharap pihak polis dapat mengenal pasti dalang di sebalik tuduhan palsu, fitnah dan kebocoran maklumat sulit kerajaan dengan kadar segera.

“Saya juga ingin menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim terhadap tatakelola baik serta tahap integriti yang tertinggi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, tular beberapa hantaran menerusi aplikasi Facebook, TikTok dan Telegram yang mendakwa kononnya Nik Nazmi serta Anwar, meluluskan projek RTB tanpa melalui proses dan tatacara teratur.

Perkara itu didakwa dilakukan menggunakan kaedah perolehan secara tender terbuka. – Getaran, 20 Mei 2023