Tudung Logo Parti Politik Laris, Meriahkan PRU-15

23 Oct 2022 • 12:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pengasas bersama tudung bawal Kekaboo Nur Hazwani Abdul Zainal (tengah) berkata pihaknya menerima tempahan lebih 15,000 helai tudung termasuk pra-tempahan sejak mula dilancarkan pada Rabu lepas. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuka pintu rezeki buat pengusaha tudung terkenal apabila rekaan tudung bermotifkan logo parti politik mendapat sambutan hangat di pasaran.

Pengasas bersama tudung bawal Kekaboo Nur Hazwani Abdul Zainal berkata 11,000 helai tudung dijual dalam tempoh kurang 20 minit selepas rekaan itu dimuat naik di laman sesawang jenama tersebut pada 19 Oktober lepas.

Antara 13 logo parti yang dipilih sebagai motif tudung ialah Barisan Nasional, UMNO, PKR, PAS, Bersatu, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Setelah sekian lama tiada peristiwa besar di Malaysia bagi meraikan sesuatu disebabkan penularan COVID-19, kami mahu memainkan peranan dan menyumbang bagi menghangatkan dan memeriah suasana peristiwa lima tahun sekali ini,” katanya kepada Bernama.

image is not available
Penyelia Pembuatan Tudung Kekaboo Muhammad Nor Adha Nordin, 23, membantu dalam penghasilan jualan tudung bermotifkan logo parti politik. - Gambar Bernama

Pertama kali mengeluarkan corak tudung dengan motif itu sejak menubuhkan jenama fesyen tersebut pada 2014, wanita berusia 31 tahun berkenaan tidak menyangka menerima sambutan luar jangkaan dan menyasarkan pengeluaran lebih 50,000 helai tudung sehingga PRU-15.

Nur Hazwani berkata idea menghasilkan rekaan itu bagi memenuhi permintaan pelanggan daripada pelbagai parti politik selain mahu menawarkan produk mengikut musim dan trend semasa.

“Pada awalnya kita memuat naik video menunjukkan tujuh sampel tudung di TikTok ... selepas tiga jam saya ada niat untuk memadam video itu namun apabila tengok maklum balas di ruangan komen, sambutan luar biasa dan jumlah like juga mencecah 10,000,” katanya.

Beliau yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata atas permintaan ramai, pihaknya turut menambah satu lagi rekaan khas tudung daripada 12 rekaan asal dengan menggabungkan semua logo parti.

Nur Hazwani berkata tudung bawal material cotton voile tersebut ditawarkan dalam dua saiz iaitu bidang 45 inci dan 50 inci, masing-masing berharga RM28 dan RM38 serta boleh didapati menerusi laman web jenama itu selain ejen dan stokis di seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama