
Tujuh Dilapor Maut Dalam Nahas Dua Kereta Api Di Bekasi
Pasukan penyelamat giat menjalankan operasi menyelamat mangsa di pinggir ibu negara, Jakarta, pagi Selasa selepas dua kereta api bertembung malam tadi, lapor AFP.
Jurucakap syarikat kereta api milik kerajaan, Kereta Api Indonesia (KAI), Anna Purba berkata kepada televisyen tempatan bahawa nahas berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh individu, manakala 81 lagi cedera.
Sementara itu, seorang mangsa, Sausan Sarifah, 29, menyifatkan detik pertembungan tersebut sebagai pengalaman ngeri apabila kereta api jarak jauh merempuh kereta api komuter yang sedang berhenti.
“Saya sangka saya akan mati,” katanya kepada AFP.
Difahamkan, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan patah lengan serta luka dalam pada bahagian paha.

Menurut Sausan, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata ketika kereta api komuter yang dinaikinya berhenti di Stesen Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer (km) dari Jakarta.
Tambahnya lagi, semua penumpang sudah bersedia untuk turun sebelum tiba-tiba terdengar bunyi kuat yang menyebabkan penumpang bertindih di dalam gerabak yang remuk.
“Tiada masa untuk keluar, semua orang akhirnya berhimpit di dalam kereta api, terhimpit antara satu sama lain. Saya tidak tahu bagaimana keadaan orang di bawah saya,” katanya.
Beliau berkata, dia bimbang akan mati lemas akibat himpitan manusia itu, selain risau mangsa yang tersepit di bawahnya tidak dapat bertahan.
“Syukurlah saya berada di atas, jadi saya dapat dikeluarkan dengan cepat,” kata Sausan.

Sementara itu, jurucakap pengendali kereta api KAI, Franoto Wibowo, memaklumkan sebuah teksi dipercayai melanggar kereta api komuter berkenaan di lintasan rata, sehingga menyebabkan ia terhenti di atas landasan.
Di stesen tersebut, keadaan menjadi huru-hara selepas kejadian, dengan anggota penyelamat dilihat meminta bekalan tangki oksigen, manakala ambulans berbaris panjang dengan lampu kecemasan berkelip-kelip.
Agensi mencari dan menyelamat Jakarta memaklumkan semua mangsa yang maut dan cedera terdiri daripada penumpang kereta api komuter, manakala 240 penumpang kereta api jarak jauh berjaya dipindahkan dengan selamat.
Operasi menyelamat yang sedang dijalankan menggunakan peralatan khas (extrication equipment) bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap akibat kerosakan teruk pada struktur gerabak.

Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian menyaksikan mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans, di hadapan ratusan orang awam yang turut menyaksikan kejadian.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Sufmi Dasco Ahmad yang berada di lokasi kejadian tidak menolak kemungkinan angka korban akan terus meningkat.
Operasi pemindahan mangsa turut dibantu pasukan tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat nasional serta Persatuan Bulan Sabit Merah.
Baca juga:
