Tujuh ditahan bergaduh kerana teman wanita

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tujuh ditahan bergaduh kerana teman wanita
Video rakaman pergaduhan turut tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Persiaran Karpal Singh di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang berlaku pada 10 April lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati insiden pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan teman wanita.

“Setakat ini, tujuh individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Pergaduhan adalah disebabkan dendam lama berkaitan teman wanita.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis kini menunggu arahan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.