JOHOR BAHRU - Seramai 14 pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa, bagi pertuduhan menjadi ahli perhimpunan iaitu bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh di hadapan sebuah sekolah, di sini, minggu lalu.
Daripada jumlah itu, seramai enam orang kena saman (OKS) berusia 12 hingga 16 tahun, mengaku bersalah dihadapan Majistret Nabilah Nizam.
Manakala, lapan lagi berusia 15 hingga 17 tahun, mengaku tidak bersalah, atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka menjadi ahli suatu perhimpunan menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama untuk bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kekerasan digunakan.
**media[3491102]**
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Iskandar Puteri pada kira-kira 12.45 tengah hari pada 10 April lalu.
Bagi perbuatan itu, kesemua mereka telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka boleh dikenakan hukuman iaitu dilepaskan dengan amaran, bon berkelakuan baik, membayar dengan denda, perintah khidmat masyarakat, dihantar ke sekolah yang diluluskan atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney, jika disabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk mendapatkan laporan akhlak, fakta dan perintah terhadap enam yang mengaku bersalah, manakala bagi lapan lagi, tarikh sama ditetapkan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
**media[3491104]**
Kesemua OKS kanak-kanak dibenarkan diikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Di mahkamah sama, seorang wanita, R. Loganayagi, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap salah seorang pelajar berusia 17 tahun pada jam 12 tengah hari di lokasi dan hari yang sama.
Bagi perbuatan itu, wanita itu dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan wanita tersebut dikenakan denda RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, S. Lakhsmy, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab bagi pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun pada jam 12.10 di hari dan lokasi yang sama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin.






