Tujuh nelayan dicekup positif dadah

LocalPolitics
26 Oct 2024 • 2:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tujuh nelayan positif dadah akan diserahkan kepada pihak AADK dan pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Foto Maritim Terengganu.

image is not available
Seramai 23 nelayan diperiksa dalam serbuan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut pada awal pagi Sabtu. Foto Maritim Terengganu.

image is not available
Seramai 37 anggota dan dua aset laut digunakan dalam serbuan tersebut. Foto Maritim Terengganu.

image is not available
Nealyan yang ditahan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing. FOTO: Maritim Terengganu

image is not available
Tujuh daripada 23 nelayan yang ditahan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut pada awal pagi Sabtu didapati positif dadah. Foto Maritim Terengganu.

BESUT - Mahu hilangkan tekanan dan beri tenaga untuk bekerja antara alasan diberikan tujuh nelayan yang dicekup positif dadah dalam serbuan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut awal pagi Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, penahanan itu melibatkan dua nelayan warga tempatan dan lima warga asing berusia lingkungan 35 hingga 48 tahun.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dalam operasi khas dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu mendapati tujuh daripada 23 nelayan yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

"Kebanyakan mereka yang positif dadah menggunakan alasan mengambil dadah bagi menghilangkan rasa tekanan ketika berada di tengah laut dan juga membantu memberikan tenaga apabila bekerja.

"Kita percaya mungkin ada pembekal atau 'pusher' yang menyasarkan golongan nelayan sebagai pelanggan utama mereka, jadi, operasi berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan, ” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, serbuan dijalankan melibatkan dua elemen iaitu elemen darat dan elemen laut dengan menggunakan kekuatan seramai 37 anggota serta dua aset laut.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap bot-bot nelayan yang berlabuh di sekitar kawasan jeti tersebut bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi.

"Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

"Nelayan tempatan yang ditahan akan diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut manakala nelayan asing akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia," ujar beliau.