
JOHOR BAHRU: Taktik sindiket penyeludupan dadah menjadikan sebuah kondominium sebagai pusat pembungkusan cecair vape mengandungi dadah terbongkar apabila polis menahan tujuh individu serta merampas dadah dan barangan lain bernilai RM10.8 juta menerusi lima serbuan berasingan, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, operasi yang dijalankan di sekitar Kulai, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Muar itu dijalankan bermula pukul 11 pagi.
Katanya, seramai lima lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
“Serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing. Polis menemukan 9,000 katrij vape mengandungi cecair methamphetamine seberat 82.40 kilogram (kg) bernilai RM4.12 juta daripada sebuah Honda BR-V.
“Serbuan kedua terhadap sebuah kondominium di Bandar Medini, Iskandar Puteri pula membongkar stor pembungkusan dan pengisian cecair vape. Di sini polis merampas 127.55 liter cecair methamphetamine, dua paket kokain 0.41 kg, 40 gram ketamin serta mesin dan peralatan yang digunakan untuk mengisi cecair vape,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Chuan Huat, serbuan ketiga yang dibuat di Taman Sutera Utama di sini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan heroin, pil Erimin 5 dan pil ekstasi.
“Dua lagi serbuan di Mutiara Rini dan di Tanjung Agas, Muar pula berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai peranan penting dalam sindiket tersebut.
“Siasatan mendapati suspek pertama merupakan transporter, suspek kedua merupakan isteri kepada suspek pertama, manakala suspek ketiga menjaga stor pembungkusan dan pengisian cecair vape. Suspek keempat pula sebagai runner, suspek kelima menerima bungkusan peralatan, suspek keenam membantu operasi sindiket dan suspek ketujuh dipercayai dalang utama,” katanya.
Chuan Huat turut memberitahu, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan seberat 210.43 kilogram dengan nilai pasaran RM10.68 juta, yang dipercayai mampu digunakan seramai 649,096 penagih jika kekal dipasaran.
“Ujian urin mendapati dua suspek positif methamphetamine, manakala semakan menunjukkan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 Ogos bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN
The post Tujuh suspek ditahan, cecair vape ‘pui-pui’ bernilai RM10.68 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.






