
SHAH ALAM – Tindakan mencurigakan dua lelaki memunggah guni ke dalam kenderaan membongkar sindiket pengedaran dadah termasuk katrij vape bernilai RM20.74 juta, minggu lalu.
Kedua-dua suspek tempatan berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan menerusi Ops Kalidasa di Jalan Kuala Selangor, Sungai Buloh pada 29 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan suspek menemukan 21 guni plastik berisi 409 bungkusan ketulan dan serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat 409.40 kilogram (kg).
“Susulan penahanan itu, polis kemudian melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Putra Damai, Petaling Jaya. Pemeriksaan membawa kepada penemuan 900 katrij vape mengandungi cecair disyaki dadah MDMA dengan anggaran isipadu 1.8 liter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan dua suspek berperanan sebagai transporter dan mereka juga dikesan positif dadah jenis THC serta mempunyai rekod jenayah lampau.
“Keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM20.74 juta. Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Punggah guni bongkar syabu, vape dadah RM20.74 juta appeared first on Kosmo Digital.






