
PETALING JAYA – Tujuh van yang dipercayai digunakan untuk membawa 53 warga asing ke tempat kerja disita Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi khas di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya, kelmarin.
Operasi antara pukul 3 hingga 6 petang itu turut menahan enam pemandu warga asing serta seorang lelaki tempatan yang juga pemandu dan pemilik salah sebuah van terbabit.
JIM dalam kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati enam van dipandu lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah, selain tidak mempunyai lesen memandu kompeten.
“Sebahagian pemandu warga asing itu mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia.
“Pemeriksaan terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing terdiri daripada 44 Indonesia, Bangladesh (8) dan Myanmar (1) masing-masing berusia antara 18 hingga 59 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JIM, mereka dipercayai menggunakan perkhidmatan van itu untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar lokasi terbabit dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan.
Tambahnya, kesemua pemandu terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala 53 warga asing ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) akta sama.
JIM berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE
The post Tujuh van ‘angkut’ 53 warga asing disita appeared first on Kosmo Online.






