PUTRAJAYA – Kegiatan pengangkutan warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar selepas 60 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di Kajang dan Putrajaya pada Isnin.
Operasi yang dijalankan antara jam 3 hingga 6 petang itu melibatkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
JIM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pasukan operasi memintas dan menahan tujuh van yang membawa sejumlah penumpang warga asing.
"Pemeriksaan mendapati enam daripada van berkenaan dipandu warga asing terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.
"Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah selain tidak memiliki lesen memandu kompeten yang sah, manakala ada yang menggunakan lesen memandu percubaan," menurut kenyataan itu.
**media[3655928]**
JIM berkata, siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing berkenaan mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan daripada pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.
"Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu dan pemilik salah sebuah van turut ditahan.
"Kesemua enam pemandu warga asing dan lelaki tempatan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan terhadap penumpang pula membawa kepada penahanan 53 warga asing terdiri daripada 44 warga Indonesia iaitu 12 lelaki dan 32 wanita, lapan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar.
"Mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah," katanya.
**media[3655930]**
JIM berkata, siasatan turut mendapati warga asing berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan van terbabit untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan.
"JIM turut menyita tujuh van yang disyaki digunakan bagi melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Menurut JIM, pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan lain yang terlibat bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
"Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut.
"Kes disiasat kerana disyaki melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
JIM memandang serius kegiatan yang memudahkan pergerakan, penggajian atau keberadaan PATI di negara ini.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan, malah turut diperluaskan kepada individu, majikan, pemilik kenderaan atau pihak yang melindungi dan memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.
JIM turut menegaskan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).






