
KUALA SELANGOR: Tujuh warga asing dikesan menjalankan perniagaan di Pasar Malam Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), baru-baru ini.
Operasi bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam pada 28 Ogos itu dilaksanakan susulan aduan awam serta pemantauan berhubung kegiatan peniaga menggajikan pekerja warga asing dan warga asing yang menjalankan perniagaan di tapak pasar malam berkenaan.
MPKS memaklumkan seramai 52 anggota daripada Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Pelesenan serta Jabatan Pembangunan Masyarakat terbabit dalam operasi itu.
“Hasil operasi, sebanyak 29 pemeriksaan dijalankan dan tujuh peniaga warga asing dikesan menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan,” menurut MPKS.
Sebanyak 36 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk 18 kerana berniaga tanpa lesen mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007.
Sebanyak 15 lagi kompaun dikeluarkan kerana gagal mematuhi notis mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala tiga lagi membabitkan kesalahan gagal memastikan kawasan perniagaan sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.
MPKS turut mengeluarkan 17 notis arahan menghentikan perniagaan selain melaksanakan tujuh sitaan membabitkan pelbagai barangan dan peralatan perniagaan.
Dalam operasi sama, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS mengambil tindakan terhadap dua peniaga ayam dan itik hidup dengan menyita 44 ekor ayam serta 11 ekor itik.
MPKS menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi syarat lesen serta undang-undang berkuat kuasa.
Peniaga turut diingatkan supaya mendapatkan lesen sah sebelum menjalankan perniagaan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

