
PASIR PUTEH – Seorang tukang kayu yang membuat papan pemotong makanan ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung perbuatan jijik dan tidak senonoh terhadap seekor kucing di sebuah rumah di Selising di sini sehingga video kejadian tersebut tular di media sosial.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Isnin depan terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd. Fadli Datuk Nik Azlan.
Tahanan reman itu bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, lelaki itu tiba kira-kira pukul 9 pagi di pekarangan Mahkamah Majistret di sini untuk prosiding reman dengan diiringi dua anggota polis.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang lelaki dicekup selepas dipercayai melakukan perbuatan jijik dan tidak senonoh terhadap seekor kucing di sebuah rumah sehingga video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis pagi semalam.
Menurutnya, semakan mendapati, lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan pecah rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Tukang kayu buat perlakuan jijik, tidak senonoh pada kucing direman appeared first on Kosmo Online.






