Tukar Lirik Tanda Solidariti Palestin, Green Day Kutuk Isra*l Di Festival Coachella

15 Apr 2025 • 7:46 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Grup legenda Amerika Syarikat, Green Day mencuri perhatian pada penampilan perdana di festival muzik terbesar, Coachella apabila menukar sebaris lirik lagu Jesus of Suburbia sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Menerusi persembahan yang berlangsung pada hujung minggu lalu, vokalis Green Day, Billie Joe Armstrong dengan berani menukar lirik lagu yang dirilis pada 2004 dan terkandung dalam album American Idiot.



“Running away from pain like the kids from Palestine, (menyelamatkan diri seperti kanak-kanak dari Palestin)”, laung Billie Joe menerusi lirik lagu yang telah diubah, lapor Palestinechronicle.com.



Malah selain Green Day, Coachella turut menyaksikan sebuah kugiran daripada Ireland, Kneecap, membawa bendera Palestin sekaligus menyatakan sokongan terhadap Gaza.

Tindakan mengutuk kekejaman Israel itu bukan pertama kali ditunjukkan dengan nyata oleh Green Day.

Pada Februari lalu, pemenang Grammy itu mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti kepada Gaza sewaktu membuat konsert di Malaysia.