![Image from: Tular Axia Langgar Lari Polis Trafik, Pemandu Sebenarnya Inspektor Hidap Skizofrenia [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/FI-split-white-4.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak beberapa hari lalu, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Axia bertindak melanggar seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas di sebuah jalan.
Dalam video itu, kelihatan kereta Axia tersebut kemudiannya melarikan diri sebaik melanggar polis berkenaan. Insiden itu turut membuatkan penjawat awam berkenaan tercampak dan jatuh di atas jalan.
Insiden itu menyebabkan Konstabel Roslan Salleh, 27, mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan kanan, belakang kepala dan sakit di bahagian rusuk.
Susulan itu, polis giat mengesan pemandu berkenaan dan insiden difahamkan berlaku di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur pada 10.47 malam, 10 April lalu, lapor Sinar Harian.
View on Threads
Suspek langgar anggota polis trafik adalah inspektor
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pemandu yang terlibat kes langgar lari anggota polis trafik berkenaan merupakan seorang Pegawai Kanan Polis yang disahkan menghidap skizofrenia.
Jelas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus pemandu berkenaan adalah inspektor yang berusia 40 tahun.
Sedang jalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan
Suspek juga sedang menjalani cuti perubatan khas serta dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.
“Suspek disahkan mempunyai masalah kesihatan mental, iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan berkaitan,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, pemandu terbabit telah berjaya ditahan selepas dikejar oleh polis dari sekitar Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada petang semalam (13 April).
Sebelum ini, anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan serta Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, telah mengesan pemandu kereta berkenaan kira-kira jam 3.45 petang hasil risikan dan semakan rakaman kamera litar tertutup
Suspek langgar beberapa kenderaan sewaktu dikejar polis
Walau bagaimanapun cubaan untuk menahan kereta yang dipandu oleh lelaki berkenaan tidak berjaya apabila suspek bertindak memecut kenderaan dipandunya secara berbahaya untuk meloloskan diri.
Sewaktu dikejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin, suspek turut bertindak melanggar beberapa kenderaan lain.
“Sepanjang operasi itu, polis trafik membuka laluan untuk mengelak kemalangan lebih serius dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Dalam cubaan melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan orang awam, termasuk Mercedes Benz dan Proton Saga, serta beberapa kenderaan lain yang masih belum membuat laporan polis setakat ini.
“Sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang menyertai operasi itu turut mengalami kerosakan.”
Berjaya diberkas dengan bantuan MPV dari IPD Cheras dan IPD Brickfields
Lelaki itu kemudiannya berjaya ditahan oleh polis di Jalan Empat, Chan Sow Lin, hasil operasi yang dibantu MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras serta Brickfields.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif.
“Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan,” jelasnya lagi.
7 pemilik kenderaan dah tampil buat laporan polis
Tambah beliau lagi ketika ini, seramai tujuh pemilik kenderaan telah tampil untuk membuat laporan dan ia melibatkan lima kereta awam serta masing-masing sebuah MPV polis dan motosikal awam milik pegawai polis.
Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Polis menyeru mana-mana pihak yang terbabit kejadian itu agar segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis trafik berhampiran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin, melalui talian 019-448285 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-2026 0267 / 0269).”






