![Image from: Tular Dakwaan Hina Sahabat Nabi Dalam Ceramah, Ini Penjelasan Nik Zawawi [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/nik-muhammad-zawawi-beri-penjelasan_1-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video ceramah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung perkongsian beliau tentang sejarah para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Menerusi video tular, Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Selain itu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai bapa ceti yang gemar memeras ugut orang miskin sewaktu zaman Jahiliyah.
Malah, dia didakwa turut menggambarkan Sayidina Umar sebagai lelaki zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan, Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu ceramah politik yang diadakan di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.
Kenyataan terbabit nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mahu PAS memohon maaf serta meminta penjelasan daripada ahli parlimen itu. Malah, ada juga dikalangan ahli PAS yang menegur beliau.
POHON PEJABAT AGAMA SIASAT UCAPAN MP PASIR PUTIH
Posted by Dato Dr Ismail Salleh on Monday 11 May 2026
Hanya Mahu Orang Ramai Faham Konteks Sejarah – Nik Muhammad Zawawi
Terbaharu, Nik Muhammad Zawawi dalam satu video tampil memberi penjelasan berhubung isu tular itu.
Jelasnya, kenyataan yang disampaikan itu hanya untuk memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah.
Terangnya lagi, penggunaan istilah ‘ceti’ adalah bertujuan untuk masyarakat memahami dengan lebih mudah betapa zalimnya zaman jahiliyah dan keindahan sistem Islam yang dibawa selepas itu.
“Apa yang saya maksudkan ialah pada zaman jahiliyah di Mekah, sesiapa sahaja yang bermuamalah dalam masyarakat ketika itu terpaksa akur dan patuh.
“Ia termasuklah tokoh-tokoh seperti Abu Bakar RA dan Abdul Rahman bin Auf. Mereka hidup dalam sistem tersebut sebelum Islam datang serta sebelum Rasulullah SAW diutuskan.
“Oleh itu, ia bukan kesalahan para sahabat kerana ketika itu Islam belum diturunkan lagi. Saya menyebut perkara ini untuk memudahkan masyarakat memahaminya,” jelasnya.
Nik Zawawi Nafi Sebut Saidina Abu Bakar Orang Jahat & Cerca Sahabat Nabi
Tegasnya lagi, dia tidak menyebut Saidina Abu Bakar sebagai seorang yang jahat apatah lagi mencerca sahabat nabi.
Jelas Nik Muhammad Zawawi, perbuatan sebegitu adalah perkara yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana Muslim.
“Saya hanya berkata bahawa ALLAH SWT menjadikan Saidina Abu Bakar sebagai model manusia yang berubah setelah menerima Islam dan tarbiah daripada Rasulullah SAW.
“Daripada seorang yang hidup dalam sistem jahiliyah beliau berubah menjadi insan contoh apabila menerima didikan Islam.
“Justeru, tidak timbul isu saya mencaci sahabat sehingga diminta bertaubat. Saya menyeru semua pihak agar bersatu padu dan tidak terus menimbulkan fitnah, Insya-Allah, saya maafkan semua pihak yang menuduh saya,” katanya.
Perbuatan Hina Sahabat Nabi Haram – Menteri Agama
Terdahulu, isu ini turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Jelas Dr Zulkifli, perbuatan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah haram dan berdosa besar.
“Mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama Nabi,” katanya.
Terangnya lagi, sahabat Baginda adalah generasi terbaik yang dipuji Allah SWT seperti dalam surat at-Tawbah ayat 100.
Menghina sahabat Nabi ﷺ ialah haram & dosa besar. Mereka generasi terbaik, dipuji Allah (At-Tawbah:100) – mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama Nabi ﷺ.
Posted by YB Senator Dr. Zulkifli Hasan on Monday 11 May 2026
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun memilih untuk bersangka baik dan percaya Nik Zawawi tidak berniat menghina sahabat-sahabat Rasulullah.
Walau bagaimanapun Annuar berkata, perkara itu perlu dibawa ke Dewan Ulama untuk diperhalusi.
Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) kemudiannya menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka. Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
“DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Dato’ Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah ﷺ.
“Pada masa yang sama, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih. Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
