Tular DBKL Serbu KLCC, ‘Ulat Gambar’ Kena Kompaun RM2,000 [Video]

LocalTravel
28 Jul 2025 • 11:07 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bandaraya Kuala Lumpur merupakan antara tempat tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang menjadi mercu tanda Malaysia.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini tular mengenai jurugambar bebas atau ‘ulat gambar’ yang semakin banyak di kawasan terbabit seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Kehadiran golongan ini dilihat mula mendatangkan rasa tidak senang segelintir pelancong apabila ada ‘ulat gambar’ yang didakwa mengenakan caj tidak masuk akal dan sebagainya sehingga ada yang mendakwa hampir menjadi mangsa scam.

Bukan itu sahaja, turut tular video seorang pelancong memarahi ulat gambar kerana diganggu ketika sedang mengambil foto.

Tular ulat gambar diserbu oleh DBKL, PDRM dan JIM

Terbaharu, tular di media sosial video yang memaparkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan operasi bersepadu di KLCC.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @benjotralala, kelihatan beberapa jurugambar bebas sedang disoal oleh pihak polis dan juga pihak penguat kuasa DBKL.

Malah, pemilik akaun TikTok berkenaan turut mendakwa sebanyak 41 notis kompaun telah dikeluarkan dalam operasi itu.

@benjotralala TINDAKAN BERSEPADU DBKL,PDRM,JIM DAN JPN. TINDAKAN KEATAS JURUGAMBAR (MOBILE PHOTOGRAPHER) DI SEKITAR KLCC , SEBANYAK 41 NOTIS KOMPAUN TELAH DIKELUARKAN. #dbkl #pdrm #imigresen #jpn #fyp #fy ♬ The Kids Aren't Alright – The Offspring

Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayan Persekutuan 2016

Sementara itu, memetik Harian Metro, ulat gambar yang dikenakan notis kompaun adalah mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.

Difahamkan, kesalahan dilakukan adalah menawarkan perkhidmatan fotografi di tempat awam kepada pengunjung sekitar KLCC dengan menggunakan telefon pintar tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Operasi bersepadu oleh KL Strike Force itu bermula kira-kira 9 malam semalam (27 Julai) dan turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

“Botak kepala kalau hari-hari kena saman” – ulat gambar

Salah seorang jurugambar yang dikompaun berkata itu adalah kali pertama mereka dikenakan tindakan sedemikian atas kesalahan menawarkan perkhidmatan menangkap gambar.

“Ini kali pertama, tengok dekat surat ini (kompaun) tulis kena bayar RM2,000 mana nak bayar? Kalau hari-hari kena saman botak lah kepala saya.

“Kalau macam ini lepas ini jika selalu saman saya kena cari kerja lain lah, tapi mereka ada kata nak bagi kami lesen di sini, kita tunggu saja lah macam mana cara,” katanya dipetik Harian Metro.